RTD bersama pemimpin belia pelbagai agama perkukuh peranan menangani masalah sosial belia

44

Dalam usaha memperkukuh usaha menangani cabaran sosial dalam kalangan belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) bersama pemimpin belia pelbagai agama, yang berlangsung dalam suasana penuh semangat keterangkuman dan keharmonian.

Dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, sesi ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin belia daripada pelbagai latar belakang agama bagi membincangkan pendekatan intervensi terhadap isu-isu sosial yang semakin kompleks melibatkan golongan muda. 


Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam merealisasikan nilai kesejahteraan, keyakinan dan ihsan seperti yang digariskan dalam Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).

Menurut Kajian Indeks Belia Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), belia Malaysia menunjukkan skor kerohanian tinggi iaitu 80.13, yang turut menyumbang secara positif kepada ketahanan mental golongan ini. 

Maka, penglibatan aktif pemimpin agama dalam menyokong pembangunan belia dilihat sebagai langkah penting ke arah membentuk masyarakat belia yang lebih seimbang secara emosi dan spiritual.

Sesi RTD ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama:

  1. Mengiktiraf peranan penting pemimpin agama dalam menangani isu sosial belia;
  2. Menyerlahkan peranan pemimpin belia pelbagai agama sebagai ejen perubahan dalam komuniti;
  3. Menekankan nilai perpaduan, saling menghormati dan persefahaman dalam membentuk masa depan belia yang harmoni.

RTD ini telah diselaraskan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama IYRES dan Majlis Belia Malaysia (MBM), serta melibatkan kehadiran wakil-wakil dari Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut (HARMONI), Jawatankuasa Harmoni MBM dan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan pelbagai agama.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, YBrs. Puan Chan Hong Jin, yang menyatakan komitmen kementerian dalam meneruskan kolaborasi rentas-agama sebagai teras membina keharmonian sosial dalam kalangan belia negara.