Putri Alyiah Seow: Bintang muda Malaysia bersinar di Liga Singapura

518

Nama Putri Alyiah Seow kini menjadi sebutan dalam arena bola sepak wanita Singapura selepas pemain berdarah Malaysia ini baru saja mencipta sejarah dengan menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan, membantu pasukan Lion City Sailors (LCS) menewaskan Tampines Rovers FC dengan skor 9-2 pada aksi Liga Perdana Wanita Singapura (WPL).

Alyiah, 23 tahun, dilahirkan di Belanda namun membesar dengan darah Malaysia sepenuhnya. 


Kedua ibu bapanya berasal dari Kuala Lumpur, dan walaupun hidup merantau di Singapura dan London untuk pendidikan, identiti Melayu-Malaysianya tetap kukuh.

“Saya mula bermain bola sepak sejak umur tujuh tahun. Waktu itu, saya satu-satunya perempuan dalam kumpulan. Tapi saya tak peduli—saya hanya nak berseronok,” katanya sambil tersenyum. Minatnya berkembang dari hobi menjadi kerjaya serius setelah menyertai MATA Sailors, pasukan liga kedua Singapura, sebelum dinaikkan ke skuad utama LCS.

Peralihan ke LCS memang mengejutkan, tapi sistem latihan dan sokongan jurulatih yang sama memudahkan adaptasi saya. Ini permulaan terbaik untuk kerjaya profesional saya,” 

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Prestasi cemerlang Alyiah dalam kemenangan 9-2 ke atas Tampines Rovers menjadi bukti dedikasinya. 

Empat golnya bukan sekadar angka, tapi simbol keyakinan yang dibina semula selepas pulih dari kecederaan awal tahun ini.

“Dua gol saya hasil hantaran sepasukan yang tepat. Kerjasama dan kepercayaan jurulatih sangat membantu,” jelasnya. Alyiah mengakui, dia sendiri terkejut dengan pencapaian itu. “Kami ketinggalan 0-1 di awal. Tak disangka boleh bangkit sehebat ini!”

Kini, beliau menjadi tonggak penting di posisi sayap kiri LCS, yang menduduki puncak WPL.

Dalam pada, Alyiah memberitahu beliau menyaksikan sendiri evolusi bola sepak wanita di Singapura. 

“Dulu, liga wanita kurang dikenali. Sekarang, penonton datang bukan hanya keluarga, tapi juga penyokong luar. Ini perubahan besar.”

LCS bukan sekadar dominan di peringkat tempatan kerana mereka juga bersaing di kejohanan antarabangsa seperti AFC Women’s Club Championship (AWCL) dan Alyiah yakin momentum ini akan menarik lebih ramai wanita muda menceburi sukan ini.

“Revolusi ini membuka peluang untuk semua. Saya harap ia terus berkembang, bukan hanya di Singapura, tapi juga Malaysia.”

Alyiah pada masa sama turut menjelaskan bahawa beliau adalah 100% orang Malaysia sekaligus menjawab kekeliruan yang mendakwa beliau adalah pemain kacukan Malaysia-Belanda.

“Saya sepenuhnya Malaysia—dari keturunan hingga pasport! Saya lahir di Belanda kerana kerja ayah, tapi keluarga kami sentiasa mengekalkan budaya Malaysia. Saya fasih berbahasa Melayu dan masak rendang pun boleh!”

Sementara itu, di sebalik kerjaya bolanya, Alyiah juga bergelar graduan bidang kewangan dari universiti di London. 

“Saya cuba seimbangkan kedua-dua dunia ini. Bola sepak tetap prioriti, tapi saya juga berminat dengan analisis kewangan.”

Untuk lima tahun akan datang, beliau berhasrat tetap terlibat dalam bola sepak, sama ada sebagai pemain atau melalui peranan lain. 

“Saya nak terus menginspirasi wanita muda. Jika ada peluang sertai skuad kebangsaan Malaysia, saya akan pertimbangkan serius.”