Lucas Bergvall sambung kontrak baharu bersama Tottenham sehingga 2031
Tottenham Hotspur terus memperkukuh masa depan mereka dengan mengekalkan bakat muda yang semakin menyerlah, Lucas Bergvall, menerusi kontrak baharu yang bakal menyaksikan pemain tengah berbakat itu kekal bersama kelab sehingga tahun 2031.
Dipetik dari beinsports, pemain berusia 19 tahun itu mula menyertai Spurs secara rasmi pada Julai 2024 selepas kelab London tersebut melengkapkan perpindahan bernilai £8.5 juta dari kelab Sweden, Djurgarden, pada Februari.
Meskipun baru semusim bersama pasukan, Bergvall segera membuktikan kemampuannya dan kini menjadi antara watak penting dalam skuad kendalian Ange Postecoglou.
Musim sulung yang cemerlang menyaksikan Bergvall membuat 45 penampilan dalam semua kejohanan, menjadikannya antara pemain paling kerap diturunkan.
Hanya empat pemain lain melepasi jumlah itu musim ini, menunjukkan tahap keyakinan tinggi yang diberikan kepadanya oleh pengurus.
Walaupun sebahagian besar penampilan awalnya adalah sebagai pemain gantian iaitu 21 kali dari bangku simpanan, Bergvall tetap berjaya mencuri tumpuan.
Antara detik kemuncaknya ialah ketika menjaringkan gol pertama bersama kelab dalam kemenangan 1-0 ke atas Liverpool pada aksi separuh akhir pertama Piala EFL Januari lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi kelab menjelang aksi separuh akhir Liga Europa menentang Bodo/Glimt, Spurs mengumumkan bahawa Bergvall telah menandatangani kontrak jangka panjang baharu, menggantikan perjanjian asal yang tamat pada 2029.
“Saya amat teruja dan bersyukur atas sokongan semua yang membantu saya sampai ke tahap ini,” kata Bergvall kepada saluran rasmi kelab.
“Tottenham adalah kelab yang mempunyai cita-cita tinggi. Saya sangat menikmati pengalaman bermain di sini. Saya telah bekerja keras dan dengan bantuan daripada rakan sepasukan serta staf kejurulatihan, saya banyak berkembang musim ini.”
Kejayaan memperbaharui kontrak Bergvall memperlihatkan komitmen Spurs dalam membina pasukan berasaskan pemain muda berkualiti, serta memberi isyarat jelas bahawa kelab ini sedang membina masa depan yang cerah.