FIB umum lanjutan tarikh akhir permohonan Lesen Kebangsaan hingga 10 Mei 2025

251

Jawatankuasa First Instance Body (FIB) hari ini mengumumkan bahawa tarikh akhir untuk kelab-kelab Liga Super melengkapkan permohonan Lesen Kebangsaan bagi Kitaran 2024–2025 telah dilanjutkan sehingga 10 Mei 2025.

Pengumuman ini hadir selepas pihak Malaysian Football League (MFL) menerima beberapa permintaan daripada kelab yang memerlukan tambahan masa untuk memuat naik dokumen-dokumen berkaitan pelesenan ke dalam sistem AFC Club Licensing Administration System (CLAS).


Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, keputusan ini dibuat bagi memberi ruang dan peluang kepada semua kelab yang masih belum melengkapkan dokumentasi yang diperlukan agar dapat berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

“FIB bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir sehingga 10 Mei 2025 bagi memastikan semua kelab Liga Super mempunyai masa yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pelesenan. 

Kami berharap kelab-kelab dapat memanfaatkan lanjutan ini untuk memastikan segala dokumentasi diselesaikan dengan sempurna,”

jelasnya dalam satu kenyataan media.

Lesen Kebangsaan merupakan keperluan wajib bagi setiap kelab untuk beraksi di peringkat tertinggi bola sepak tempatan serta membuka peluang kepada penyertaan dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

FIB menegaskan bahawa tiada lanjutan tambahan akan diberikan selepas tarikh baharu ini dan menyeru semua kelab untuk mengambil serius proses pelesenan ini demi memastikan profesionalisme dan tadbir urus kelab yang berkualiti tinggi terus diterapkan dalam liga bola sepak Malaysia.