Hojlund Cemerlang di Bawah Amorim: “Ini Aksi Terbaiknya”
Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Athletic Club sebagai aksi terbaik Rasmus Hojlund di bawah kendaliannya.
Dipetik dari Manutd, penyerang muda Denmark itu menyerlah dengan aksi bertenaga, mencipta penalti dan mempamerkan kawalan bola serta larian yang bijak sepanjang perlawanan. Amorim memuji sumbangannya yang membantu pasukan menguasai permainan.
“Dia bantu pasukan dari pelbagai aspek – pegang bola, buat larian, dan ambil keputusan dengan tepat,” kata Amorim.
Amorim turut mengingatkan bahawa pemain perlu kekal fokus kerana situasi boleh berubah bila-bila masa.
Beliau turut memuji mentaliti Hojlund dan membandingkannya dengan kebangkitan Harry Maguire yang pernah dikritik hebat sebelum bangkit menjadi tonggak utama.
Hojlund sebelum ini juga menjaringkan gol penyamaan lewat permainan menentang Bournemouth dan kini dilihat semakin penting dalam perancangan United untuk mengakhiri musim dengan cemerlang.