Clayton da Silva sedang dalam rundingan untuk sertai kelab baharu, mahu terus beraksi di Liga Super

567

Pemain import Perak FC, Clayton da Silva, mengesahkan bahawa beliau sedang berunding dengan beberapa kelab Liga Super Malaysia bagi menyambung kariernya di negara ini selepas musim yang mencabar bersama Perak.

Menurut Clayton, ejen beliau kini dalam proses rundingan dengan beberapa kelab di mana semua kelab tersebut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.


“Saya faham keadaan yang berlaku. Seperti yang berlaku di Perak sehingga hari ini, mereka masih belum membayar gaji saya. 

Jika tertangguh satu, dua atau tiga bulan mungkin masih boleh ditoleransi, tetapi kini sudah lebih enam bulan setengah tanpa bayaran, itu sangat sukar,

katanya kepada Harimau Malaya.

Clayton juga mendedahkan beliau kini berada dalam keadaan mendesak kerana visa beliau akan tamat dalam masa terdekat, dan tanpa penyelesaian segera, status beliau di Malaysia mungkin menjadi tidak sah. 

Situasi ini semakin membebankan kerana beliau turut tinggal di Malaysia bersama isteri dan dua anak kecil.

Selain kelab-kelab Malaysia, Clayton turut menerima minat dari beberapa pasukan di Indonesia, Vietnam, Thailand, Kuwait, Australia, liga bawahan Jerman dan negara-negara Arab. Namun, beliau tetap meletakkan keutamaan untuk terus beraksi di Malaysia sekiranya ada peluang yang sesuai.

Clayton sebelum ini mencuri tumpuan apabila menjadi antara tonggak utama The Bos Gaurus dengan 10 gol, 8 bantuan jaringan serta lebih 2,000 minit permainan pada musim lalu, menjadikannya pemain dengan penyertaan langsung terbanyak dalam jaringan pasukan.

Dengan prestasi cemerlang dan pengalaman luas di pelbagai negara, kelibat Clayton pasti terus menjadi buruan pasukan-pasukan yang inginkan impak segera dalam saingan Liga Malaysia.