Lawatan YB Hannah Yeoh ke SIC: Penganjuran acara hiburan kini lebih selamat dan mesra belia

41

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Sepang International Circuit (SIC) bagi meninjau pelaksanaan Garis Panduan Penganjuran Konsert dan Festival 2025 yang lebih ketat dan mesra belia.

Lawatan ini selari dengan pelancaran inisiatif Belia Bebas Dadah minggu lalu, dan menandakan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memastikan acara hiburan di Malaysia dianjurkan secara bertanggungjawab, selamat dan sihat untuk generasi muda.


Antara penambahbaikan penting dalam garis panduan tersebut adalah:

  • Langkah pencegahan dadah yang ketat, termasuk pemeriksaan di pintu masuk, ujian air kencing secara rawak, kerjasama dengan PDRM serta penempatan Unit K9.
  • Pengurusan alkohol terkawal, dengan kawasan khas untuk minuman beralkohol yang dihadkan kepada individu bukan Islam berumur 21 tahun ke atas.
  • Kemudahan kesihatan, termasuk pasukan perubatan lengkap, ambulans dan paramedik mengikut piawaian antarabangsa.
  • Hydration Point dan Chill Out Zone, disediakan bagi mengelakkan dehidrasi dan memberi ruang rehat yang selesa.

SIC menjadi fasiliti pertama di negara ini yang melaksanakan sepenuhnya SOP tambahan KBS untuk acara berimpak tinggi. 

Dalam usaha mendidik dan melindungi belia, semua artis juga diwajibkan menyampaikan mesej kesihatan setiap jam, dan bahan promosi keselamatan serta kesedaran dadah akan dipamerkan sepanjang acara.

YB Hannah menegaskan bahawa langkah ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi sebahagian daripada usaha membentuk budaya hiburan sihat yang meraikan nilai Malaysia MADANI. 

Beliau menyeru semua penganjur acara di seluruh negara untuk mencontohi pendekatan SIC, demi kesejahteraan belia Malaysia.

“Masa depan negara terletak pada belia yang sihat, berdaya tahan dan bermaklumat,” tegas YB Hannah.