FIFA ‘transfer ban’: Terengganu FC perlu bertindak segera supaya tak jejaskan pasukan untuk musim 2025/26

Saingan Liga Super Malaysia bagi musim 2024/25 sudah pun melabuhkan tirainya dengan Terengganu FC berjaya menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan teratas.
Disebalik keterujaan peminat Terengganu untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi pada musim hadapan, skuad Sang Penyu kini berdepan detik sukar apabila dikenakan sekatan perpindahan (transfer band) Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus memberi tamparan besar kepada persiapan pasukan menjelang musim 2025/26 Liga Super.
Sekatan tersebut akan menyaksikan Terengganu dihalang daripada mendaftarkan pemain baharu dalam jendela perpindahan akan datang sehingga isu berkaitan tunggakan atau pertikaian dalam urusan perpindahan pemain diselesaikan sepenuhnya.
Oleh itu, pihak pengurusan kelab perlu segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan perkara tersebut supaya perancangan pasukan untuk musim hadapan tidak terjejas.
Dalam pada itu, bukan Terengganu sahaja yang dikenakan sekatan tetapi dua lagi kelab dari Malaysia iaitu PT Athletic FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) turut disenaraikan dalam sekatan FIFA.
PT Athletic yang beraksi dalam saingan Liga A1 (Liga M3) dikatakan berkemungkinan besar tidak akan beraksi pada musim hadapan dek berdepan masalah tunggakan gaji yang agak parah.
Manakala KDN yang beraksi dalam saingan Liga Super dijangka hanya akan diketahui nasib mereka iaitu samada mereka mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi pada musim hadapan atau tidak pada 10 Mei ini.
Apa-apa pun, diharap pihak pengurusan Terengganu, KDN dan PT Athleticerlu segera mengambil tindakan pantas menyelesaikan isu ini agar sekatan FIFA dapat ditarik balik sebelum jendela perpindahan dibuka.