Kebangkitan epik Inter Milan singkirkan Barcelona, tempah slot ke final Champions League

Inter Milan mempamerkan aksi luar biasa untuk menyingkirkan Barcelona dalam separuh akhir UEFA Champions League dengan kemenangan dramatik 4-3 (agregat 7-6) dalam masa tambahan di San Siro, sekaligus mengesahkan tempat mereka ke final buat kali kedua dalam tiga musim.
Dipetik dari FoxSports, Barcelona kelihatan hampir pasti mara ke final selepas mendahului 3-2 dalam perlawanan dan 6-5 secara agregat ketika masa kecederaan babak kedua.
Namun, gol penyamaan dramatik oleh pertahanan tengah Inter, Francesco Acerbi pada minit ke-93 membatalkan kelebihan itu dan memaksa permainan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan bermain mati-matian, namun Inter yang akhirnya mencuri tumpuan apabila Davide Frattesi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-189 – gol ke-13 keseluruhan dalam dua perlawanan yang penuh dengan ketegangan dan aksi mendebarkan.
Terdahulu, Barcelona mengambil alih kelebihan agregat buat kali pertama apabila Raphinha meledak gol pada minit ke-87, tetapi ia hanya bertahan selama enam minit sebelum Acerbi mencetuskan kegembiraan penyokong Nerazzurri di San Siro.
Inter tampil dengan misi membalas kekecewaan selepas tewas kepada Manchester City dalam final 2023, dan kali ini mereka tekad untuk membawa pulang kejuaraan.
Pasukan kendalian Simone Inzaghi itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan separuh akhir Champions League di tempat sendiri.
Kini, Inter akan berdepan sama ada Arsenal atau Paris Saint-Germain di final yang akan berlangsung di Munich pada 31 Mei. PSG ketika ini mendahului agregat 1-0 menjelang aksi timbal balik di Parc des Princes.
Kemenangan ini menandakan semangat juang luar biasa Inter – satu peringatan bahawa dalam bola sepak, perlawanan belum tamat selagi wisel penamat belum ditiup.