Harry Kane tamatkan badi, raih kejuaraan pertama bersama Bayern Munich

21

Harry Kane akhirnya menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi pertama dalam kariernya apabila Bayern Munich dinobatkan sebagai juara Bundesliga 2024. 

Kejuaraan ini disahkan selepas Bayer Leverkusen seri 2-2 dengan Freiburg, sekaligus meninggalkan Bayern lapan mata di hadapan dengan hanya dua perlawanan berbaki.


Dipetik dari FoxSports, bintang England itu sering dikaitkan dengan “badi kejuaraan” setelah gagal memenangi sebarang trofi bersama Tottenham Hotspur, England mahupun musim pertamanya di Bayern. 

Musim lalu, Kane menyertai Bayern sebagai pembelian rekod kelab, namun musim pertamanya berakhir tanpa sebarang trofi yang menyaksikan kali pertama Bayern mengalami musim kosong sejak 2012.

Bayern hampir meraikan kejuaraan pada Sabtu ketika mendahului Leipzig 3-2, namun gol penyamaan lewat oleh Yussuf Poulsen memaksa keputusan seri dan menangguhkan pesta mereka. 

Namun, keputusan Leverkusen yang kurang meyakinkan menentang Freiburg membuka laluan buat Bayern untuk bergelar juara lebih awal.

Freiburg mendahului menerusi Maximilian Eggestein dan gol sendiri Piero Hincapie. Leverkusen hanya berjaya bangkit lewat menerusi Florian Wirtz dan Jonathan Tah, tetapi ia sudah terlambat.

Kane dan rakan sepasukan meraikan kejayaan mereka di sebuah restoran Munich, menyanyikan “We Are the Champions” dan lagu Bob Marley “Three Little Birds”. 

Bayern akan menerima trofi kejuaraan selepas aksi menentang Borussia Mönchengladbach minggu hadapan.

Ini merupakan gelaran Bundesliga ke-34 Bayern dan kejuaraan pertama buat Kane dan satu pencapaian yang akhirnya menoktahkan badi dalam karier gemilangnya.