PSG tumbangkan Arsenal, tempah tiket ke final UEFA Champions League

19

Paris Saint-Germain (PSG) berjaya menempah slot ke final UEFA Champions League 2024-25 selepas menewaskan Arsenal 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Parc des Princes, awal pagi Khamis. 

Dipetik dari Foxsports, kemenangan itu menyaksikan PSG mara ke final dengan agregat 3-1 dan bakal menentang Inter Milan pada 31 Mei di Munich.


PSG yang menang 1-0 di London minggu lalu, bermula garang dan menggandakan kelebihan menerusi jaringan ‘volley’ padu Fabian Ruiz pada minit ke-27. 

Ia juga merupakan gol pertama Ruiz dalam saingan Champions League sepanjang kariernya. 

Achraf Hakimi kemudian menambah jaringan kedua untuk PSG pada separuh masa kedua sebelum Bukayo Saka merapatkan kedudukan buat Arsenal.

Namun, usaha Arsenal tidak cukup untuk membalikkan keputusan kerana walaupun menguasai 55% penguasaan bola dan mencatat lebih banyak percubaan iaitu 19 berbanding 11, pasukan bimbingan Mikel Arteta gagal memanfaatkan peluang yang hadir, antaranya disekat oleh aksi cemerlang penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, yang melakukan dua penyelamatan hebat pada awal permainan.

Kejayaan ini menandakan penampilan kedua PSG di final Champions League, selepas kali terakhir pada 2020 ketika tewas kepada Bayern Munich. 

Kini, dengan skuad yang mantap dan semangat membara, PSG dilihat sebagai pilihan awal untuk menjuarai perlawanan akhir menentang Inter Milan.

Bagi Arsenal, ia satu lagi kekecewaan di pentas Eropah, manakala PSG terus memburu impian untuk menjulang trofi berprestij yang belum pernah mereka miliki.