Faisal Halim kecewa kes simbah asid diklasifikasikan ‘Tiada Tindakan Lanjut’

310

Firma guaman yang mewakili pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co. hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media berhubung perkembangan siasatan kes simbahan asid terhadap anak guam mereka yang berlaku pada Mei 2024.

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan oleh wartawan sukan Zulhelmi, pihak guaman telah mengambil pelbagai langkah proaktif sepanjang tempoh siasatan berlangsung, termasuk memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghantar surat rasmi kepada beberapa agensi penting seperti Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara.


Tujuannya adalah untuk menggesa agar siasatan kes ini dipantau secara menyeluruh dan diberi keutamaan sewajarnya.

Bagaimanapun, mereka telah dimaklumkan melalui satu surat rasmi daripada Jabatan Peguam Negara bahawa kes ini telah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” atau No Further Action (NFA).

Kandungan surat itu juga dinyatakan bahawa pihak polis gagal mengesan sebarang petunjuk atau bukti kukuh yang boleh mengaitkan serangan tersebut dengan mana-mana suspek.

Pihak peguam memaklumkan bahawa Faisal Halim amat kecewa dengan keputusan ini dan akan terus berbincang bersama mereka bagi menentukan langkah-langkah seterusnya bagi menuntut keadilan.