Kerajaan MADANI terus komited pacu kesejahteraan belia negara

13

Pembangunan belia negara terus menunjukkan pencapaian membanggakan di peringkat global dan serantau. Berdasarkan Global Youth Development Index (GYDI) 2023, Malaysia melonjak ke tangga ke-35 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-50 pada tahun 2020. 

Di peringkat ASEAN, Malaysia kini di tempat kedua daripada 10 negara, menggambarkan hasil usaha bersepadu pelbagai agensi dalam memperkasa belia.


Seiring kemajuan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Bil 1/2025 telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). 

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada inisiatif pembangunan belia melalui platform Rakan Muda, melibatkan kerjasama pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan.

Antara keputusan penting mesyuarat ialah penganjuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 dalam tiga peringkat: Daerah (15 Mei), Negeri (17–18 Mei), dan Kebangsaan (13–15 Jun), dengan pengiktirafan oleh YAB Perdana Menteri.

Setakat April 2025, sebanyak 2.2 juta belia telah menyertai program fizikal Rakan Muda, dan lebih 317,000 secara dalam talian, manakala 119 Sekretariat Rakan Muda IPT kini aktif di seluruh negara—meningkat ketara daripada 89 pada 2024.

KBS sebagai urus setia JKPB akan memperkukuh kolaborasi strategik, antaranya bersama AADK, dalam menangani isu sosial belia melalui pencegahan dan intervensi awal yang lebih menyeluruh.

Usaha menyeluruh ini selaras dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 dan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030. 

Kerajaan yakin dengan sokongan kolektif, golongan belia mampu menjadi pemimpin berintegriti dan penggerak utama masa depan Malaysia MADANI yang progresif dan sejahtera.