Barcelona gah tumbangkan Real Madrid 4-2 dalam aksi El Clasico
Barcelona mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit menundukkan musuh tradisi, Real Madrid, dengan keputusan 4-3 dalam perlawanan El Clasico yang penuh dramatik pada Ahad.
Dipetik dari Foxsports, kemenangan ini membuka laluan luas buat Barca menjuarai La Liga musim ini, setelah melebarkan jurang tujuh mata dengan hanya tiga perlawanan berbaki.
Walaupun Kylian Mbappé meledak hatrik menakjubkan, termasuk dua gol awal pada minit ke-5 dan 14 namun keunggulan Real tidak bertahan lama.
Eric Garcia memulakan kebangkitan Barca dengan tandukan tepat pada minit ke-19. Kemudian, Lamine Yamal menyamakan kedudukan menerusi rembatan ke penjuru gawang pada minit ke-32.
Raphinha melengkapkan kebangkitan memukau dengan dua gol berturut-turut pada minit ke-34 dan 45.
Mbappe melengkapkan hatrik pada minit ke-70, menjadikannya penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan 27 gol, namun ia tidak cukup untuk menyelamatkan Real Madrid.
Kedua-dua pasukan turut mempunyai jaringan yang dibatalkan pada penghujung perlawanan.
Barcelona kini belum tewas dalam 16 aksi liga terakhir mereka, dan pertemuan ini menandakan kemenangan keempat berturut-turut Barca ke atas Madrid musim ini termasuk kemenangan besar 4-0 di Bernabeu dan kemenangan dalam Piala Super serta Copa del Rey.
Kekalahan ini memberi tekanan kepada jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, yang dikhabarkan bakal berpindah mengendalikan skuad kebangsaan Brazil dengan Xabi Alonso dijangka menjadi pengganti pilihan.
Dengan prestasi semasa yang mantap, Barcelona kini kian hampir untuk dinobatkan juara La Liga 2024/25.