Kelab bola sepak perlu selesaikan tunggakan gaji sebelum cari penaja – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, menegaskan bahawa kelab-kelab bola sepak tempatan perlu membersihkan rekod pentadbiran mereka, terutamanya isu tunggakan gaji pemain, sebelum berusaha mendapatkan penaja korporat.
Menurut Hannah, bola sepak merupakan sukan paling popular di Malaysia dan sepatutnya tidak menghadapi kesukaran menarik minat penaja berbanding sukan lain, namun isu kewangan dalaman seperti tunggakan gaji pemain telah menjejaskan keyakinan pihak korporat.
“Kalau ada isu pembayaran gaji, memang kalau saya sponsor pun saya tak nak terlibat. Kelab-kelab ini perlu ‘bersihkan’ diri dulu. Jika mereka tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik, mungkin sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pihak lain yang lebih berkebolehan.”
katanya.
Hannah juga menyerahkan mengenai struktur liga kepada Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan pengelola, namun beliau berharap kedua-dua entiti itu bekerjasama dengan kelab untuk memastikan pematuhan standard kewangan.
“Untuk pihak kerajaan, memang apa yang dah boleh dilakukan telah pun dilakukan untuk memberi sokongan kepada bola sepak. Dan tuduhan yang selalu orang lain bagi kepada kerajaan adalah terlalu memihak kepada bola sepak. Jadi tak ada isu kita tak sokong, kita dah banyak bagi sokongan pada bola sepak di Malaysia.”
Tambahnya lagi, jika isu tunggakan gaji berterusan, ia bukan sahaja merosakkan reputasi bola sepak Malaysia tetapi juga menjejaskan potensi untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Hannah turut mengulas mengenai kenyataan polis mengenai kes simbah asid pemain kebangsaan Faisal Halim yang telah diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).
“Apa yang telah berlaku kepada Faisal Halim merupakan jenayah berat, sangat serius. Beliau merupakan aset negara, pemain pasukan kebangsaan. Jadi saya berharap pihak polis tidak akan terhenti seperti itu.
Saya ada baca kenyataan polis, mereka kata NFA tak bermaksud siasatan dihentikan. Jadi saya lega kerana siasatan masih diteruskan dan saya berharap mereka akan mengerahkan lebih banyak lagi tenaga untuk mencari pihak yang bertanggungjawab kerana saya tahu pelaburan negara terhadap Faisal Halim itu dah banyak dan nasib baik beliau selamat dan boleh kembali bermain.”
Beliau turut berkata tidak wajar perkara seperti ini berlaku kepada atlet kita dan saya berharap polis akan siasat sampai dapat.
Sementara itu, Hannah menyeru agar atlet tidak mengabaikan pendidikan demi memastikan masa depan yang cerah.
“Sukan dan akademik perlu seimbang. Ramai atlet muda berhenti belajar kerana fokus pada kerjaya sukan, tetapi kita mahukan mereka mempunyai pelan jangka panjang.”