Faisal Halim lupakan percutian demi kongsi ilmu dengan pemain muda

87

Bintang Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim terus mengangkat semangat bola sepak di peringkat akar umbi apabila beliau terlibat dalam Kejohanan Faisal Halim Cup 2025 yang menyaksikan beliau menggalas tugas sebagai jurulatih.

Menurut Faisal, kejohanan ini bukan sekadar medan perlawanan, tetapi ia adalah platform untuk melahirkan bakat baharu dari kampung dan sekolah sekitar.


Walaupun beliau kini sedang berehat susulan musim liga sudah tamat, tapi Faisal sanggup melupakan cutinya demi berkongsi ilmu dengan pemain-pemain muda di kampungnya di Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

“Apa yang saya boleh kata ini adalah satu minat dan rezeki mereka juga dapat berlatih dengan saya. Kalau ikutkan lebih baik saya pergi bercuti. Tapi saya ‘stay’ di kampung untuk memberi sedikit ilmu walaupun tak banyak untuk mereka dan saya rasa mereka juga gembira,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey berkata kejohanan tahun ini memberi penekanan kepada pemain-pemain muda dari akademi dan sekolah berbanding pasukan-pasukan yang sudah mapan seperti “budak AT” (Akademi Tunas) bagi memastikan saksama untuk pemain-pemain kurang ternama yang sebelum ini sering terpinggir.

“Saya tetapkan hanya tiga orang pemain AT dibenarkan dalam satu pasukan. Yang lain semua adalah budak akademi dan sekolah. Saya ingat masa zaman saya kecil dulu, semua main ikut sekolah, ikut akademi. Tiada nama besar. Jadi bakat boleh betul-betul menonjol.”

Selain menganjurkan kejohanan, Faisal juga turun padang sebagai jurulatih untuk dua pasukan yang dibimbingnya sendiri. 

“Saya ada dua pasukan, dan sepanjang dua minggu latihan saya nampak perubahan pada mereka. Walaupun tak besar, tapi cukup membanggakan.” 

Tegasnya lagi, kejayaan sebenar bukan pada kemenangan semata-mata, tetapi pada perkembangan mentaliti dan kematangan pemain.

Dalam pada itu, Faisal juga mengulas tentang kebangkitannya selepas mengalami insiden yang menggemparkan negara tahun lalu.

“Saya tak sangka boleh kembali secepat ini. Usaha dan semangat tak putus asa penting. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya, tak kira peminat bola sepak atau tidak.” 

Bagi Faisal, proses untuk mendapatkan semula sentuhan dan rentak permainan selepas hampir setahun tersisih adalah sangat mencabar.

“Dapat sarung jersi kebangsaan semula, rasa sangat emosional. Ia satu kebangkitan, dan saya mahu bina semula aura saya dari bawah.”

Sementara itu, ditanya tentang pengumuman kes serangan terhadapnya yang ditutup dengan status NFA (No Further Action), Faisal mengakui kecewa. 

“Saya kecewa. Tapi saya terima dengan hati terbuka. Saya hanya mahu fokus kembali dalam bola sepak. Kalau ada yang tak puas hati, beritahu saya. Jangan aniaya saya.”