Daddyhood kekal rendah diri biarpun Homebois terus cemerlang dengan rekod tanpa kalah

76

Pasukan Homebois terus mencuri perhatian dalam MPL Malaysia musim 15 apabila mencatat kemenangan bersih 2-0 ke atas Team Vamos dalam aksi minggu keempat. 

Kemenangan ini bukan sekadar meneruskan rentak tanpa kalah mereka musim ini, tetapi juga menjadi bukti betapa seriusnya kebangkitan yang diketuai oleh pengasasnya sendiri, Daddyhood.


Sebelum musim bermula, Homebois bukanlah antara pasukan yang diramal akan memberi cabaran besar, bahkan, nama mereka jarang disebut dalam kalangan “Big Four”. 

Namun bagi Daddyhood, itu bukan satu masalah — malah satu kelebihan.

“Lebih baik orang tak sebut. Kita bergerak dalam senyap, tahu-tahu ‘meletup’. Apa yang kita capai ni semua atas usaha, doa, dan amal. Kita jaga semua tu, insyaAllah Allah bagi,” 

katanya kepada Harimau Malaya.

Satu frasa yang sering dikaitkan dengan Homebois musim ini ialah “low cost, high impact” yang menyaksikan Daddyhood menjelaskan bahawa beliau tidak lagi terlibat secara langsung dalam pemilihan pemain, sebaliknya tugas diserahkan sepenuhnya ketua pasukan, Abe dan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Jesven.

“Saya cuma tetapkan bajet. Abe dan Jesven yang tapis pemain, terutama dari Indonesia. Mereka lebih faham gameplay dan karakter pemain. Jadi itu kelebihan besar buat kami.”

Strategi dan kepelbagaian dalam pemilihan hero juga menjadi salah satu kekuatan Homebois dan gandingan coaching staff mereka kekal konsisten memberi impak tinggi dengan sumber yang sederhana.

Dalam pada itu, berbeza dengan musim-musim terdahulu, Daddyhood mengakui beliau kini mengambil pendekatan lebih berjarak dari pasukan dan pemain.

“Saya tak banyak attach dengan sesiapa musim ni. Saya jaga diri saya je. Dulu saya terlalu rapat dengan semua, jadi bila ada kehilangan, saya cepat rasa down. Sekarang, saya belajar untuk berdiri sendiri. Hidup ni pun seorang, nanti mati pun seorang.”

Sementara itu, dengan Homebois kini berada di upper bracket dan secara automatik dalam kelompok empat terbaik, Daddyhood tidak menolak sasaran untuk menamatkan musim di tangga dua teratas — sekaligus melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa di Riyadh.

“Kalau dapat top 2 dan ke Riyadh, banyak benda saya boleh selesaikan. Tapi kita ambil langkah demi langkah dulu. Fokus playoff dulu.”