Ruben Amorim beri bayangan tinggalkan Manchester United jika masalah berterusan

149

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, memberi bayangan bakal meninggalkan kelab jika gagal mengatasi masalah dalaman dan prestasi hambar pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dipetik dari Premierleague, walaupun United hanya satu kemenangan lagi daripada merangkul trofi Eropah dan layak ke UEFA Champions League, kekalahan 0-2 kepada West Ham United di Old Trafford baru-baru ini jelas menambah tekanan buat Amorim. 


Ia merupakan kekalahan liga ke-17 buat United musim ini dan lanjutan kepada tujuh perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan. 

United kini berada di tangga ke-16 liga dengan hanya 39 mata, satu kedudukan yang cukup mengecewakan untuk kelab sebesar mereka.

Ditanya mengenai kedudukan itu, Amorim tanpa berselindung menyatakan: “Macam mana pengurus Manchester United patut rasa bila dalam kedudukan macam ni? Mestilah malu.”

Beliau turut menyifatkan masalah utama kelab adalah dari segi mentaliti pemain. 

“Kita sudah hilang rasa takut untuk kalah. Itu perkara paling bahaya bagi kelab besar seperti Manchester United. Ini bukan salah pemain. Saya ambil tanggungjawab penuh. Jika saya tak mampu ubah keadaan dengan segera, mungkin sudah tiba masanya beri peluang kepada orang lain.”

Amorim juga mengingatkan agar final Liga Europa menentang Tottenham Hotspur pada 21 Mei nanti tidak mengaburi mata tentang isu sebenar yang dihadapi kelab.

“Final itu bukan segalanya. Kita perlu ubah banyak perkara. Kalau kita tak ubah cara bermain, tak layak kita ke Liga Juara-Juara. Fokus utama sekarang adalah melakukan perubahan menyeluruh, bukan hanya kejar trofi,” tegasnya.

Ruben Amorim kini berdepan dilema besar iaitu antara kekal berjuang atau mengundur diri demi kelangsungan kelab.