MSDeaf lihat kejayaan Anugerah Khas 2024 sebagai cerminan komuniti pekak & hasil tatakelola korporat

54

Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menyifatkan kejayaan menerima Anugerah Khas 2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negara sebagai bukti kemampuan komuniti pekak bersaing setara dalam dunia sukan, apabila diurus secara profesional dan berwibawa.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat martabat sukan orang kurang upaya, malah menjadi penanda aras baharu buat persatuan-persatuan sukan lain. 


MSDeaf turut menegaskan bahawa kehadiran penasihat daripada sektor korporat telah mula menampakkan kesan positif, khususnya dari sudut tatakelola, strategi gerak kerja dan disiplin organisasi.

Presiden MSDeaf, Encik Ong Shin Reunn, menyatakan rasa syukur atas penghormatan tersebut sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan yang konsisten.

“Saya bersyukur kerana akhirnya MSDeaf berhasil mendapat salah satu anugerah berprestij dalam Anugerah Sukan Negara 2024 ini sekaligus membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilaksanakan kami bagi memartabatkan sukan dan atlet-atlet pekak negara.

Kami juga berharap agar pembangunan sukan warga Pekak negara dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan konsisten merangkumi pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta memperkasakan program atlet podium Pekak yang mampu memenangi pingat untuk negara di peringkat antarabangsa,”

katanya.

Sementara itu, Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, melihat pencapaian ini sebagai hasil pendekatan strategik yang membawa nilai korporat ke dalam pengurusan persatuan.

“Anugerah ini boleh dilihat sebagai kesan dari tindakan MSDeaf membawa tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan daya tahan kepada pihak persatuan untuk tidak mengarapkan dana kerajaan semata-mata seperti sebelum ini.

Sudah sampai masa untuk kita naikkan taraf kehidupan para atlet Pekak ini kerana kita tahu cabaran mereka lebih dari atlet-atlet normal.”

Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat atlet menjelang tiga kejohanan utama: Sukan Pekak Asia Tenggara (Jakarta, Ogos), Sukan Orang Pekak Malaysia (Kuching, Oktober), dan Sukan Deaflympic Tokyo pada November 2025.