Pemilihan pemain muda adalah langkah strategik bina masa depan bola sepak Malaysia – Peter Cklamovski

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelaskan bahawa pemilihan beberapa pemain muda ke kem latihan pusat Harimau Malaya adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi membina masa depan bola sepak Malaysia.
Menurut Cklamovski, pemilihan pemain muda ini bukan sahaja sebagai ganjaran atas prestasi mereka di saingan Piala MFL tetapi juga untuk memastikan kesinambungan DNA pasukan kebangsaan di kalangan pemain bawah 23 tahun.
“Ya, saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk mereka. Ia juga menunjukkan bahawa kami sentiasa memandang ke hadapan. Jadi, sudah tentu yang penting adalah kami merancang untuk masa sekarang, tetapi sangat penting juga bahawa kami memikirkan masa depan untuk membina bola sepak Malaysia.
Jadi, kemasukan pemain-pemain ini adalah sebagai ganjaran atas prestasi mereka. Jurulatih Nafuzi sentiasa memerhatikan semua kategori pemain muda dan ini adalah cara kami menyambungkan DNA Pasukan Kebangsaan yang kami mahukan ke dalam kalangan pemain bawah 23 tahun. Mereka mempunyai kempen penting yang akan datang iaitu kelayakan Piala Asia pada bulan September,”
katanya.
Antara pemain muda yang dipanggil oleh Cklamovski adalah Fergus Tierney (JDT), Muhammad Alif Ahmad (JDT II), Muhammad Shafizan Mohamad Arshad (JDT II), Muhamad Abu Khalil (SFC), Mohammad Hykal Danish Mohd Haizon (SFC II) dan Muhammad Aiman Hakimi Othman (SFC II).
Cklamovski juga berkata dalam kem ini kesemua pemain muda akan merasai sedikit pengalaman bola sepak yang ingin mereka mahu mainkan, persekitaran yang mereka ingin bina, serta mentaliti yang mahu dibentuk.
Tambahnya lagi, ia juga sebahagian daripada persediaan untuk mereka membantu skuad B-23 yang akan menghadapi cabaran Piala AFF nanti sebelum kelayakan Piala Asia.
“Kenapa ini penting, jika kita fikirkan ke hadapan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi dan impikan kita berada di Piala Dunia 2030, pemain-pemain dalam kumpulan umur Nafuzi ini akan berada pada usia kemuncak untuk itu.”
Dalam pada itu, Cklamovski turut mengesahkan bahawa Jose Dexter akan turut serta dalam kem latihan sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 kendalian Nafuzi Zain yang mana ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk falsafah dan DNA permainan pasukan ke tahap lebih tinggi.
“Jose sudah lama bersama sistem kejurulatihan pasukan kebangsaan dan kami melihat peranan ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Nafuzi tetapi juga peluang bagi Jose untuk menyumbang dalam pasukan senior selepas Mark Milligan berundur.”
Beliau juga berharap dengan kehadiran Dexter dapat menjadikan hubungan antara pasukan senior dan skuad bawah 23 tahun lebih erat, sekaligus memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda yang berkualiti bagi masa depan bola sepak Malaysia.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya kini dalam persiapan bagi menghadapi dua perlawanan penting iaitu erlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.