Liga A1 boleh jadi pentas untuk pemain muda bersaing dan menyerlah – Tan Cheng Hoe

Pengarah Teknikal (TD) Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe optimis dengan hala tuju baharu pasukan kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski, menjelang dua perlawanan penting menentang Cape Verde (29 Mei) dan Vietnam (10 Jun) nanti.
Tan Cheng Hoe menyifatkan perjalanan ke Kelayakan Piala Asia 2027 kali ini penuh cabaran memandangkan hanya juara kumpulan akan layak ke pusingan seterusnya, namun beliau percaya struktur kejurulatihan dan pengurusan yang tersusun ketika ini menjadi kekuatan utama pasukan Harimau Malaya.
“Ya, kita nampak perubahan yang sekarang di mana kita fokus untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027 kerana kali ini agak mencabar kerana hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke pusingan akhir.
Pada masa sama, saya lihat dari segi barisan kejurulatihan, pengurusan semuanya tampak begitu tersusun dan dengan kehadiran pemain warisan dan pemain tempatan, ia mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik,”
katanya.
Cheng Hoe memberitahu bahawa beliau banyak berbincang dengan Cklamovski tentang pembentukan masa depan Harimau Malaya.
“Setiap jurulatih ada falsafah sendiri. Saya yakin dengan pengalaman Coach Peter, beliau mampu bawa kelainan dan kita lihat sendiri perubahan ketika perlawanan menentang Nepal tempoh hari.”
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan semua pihak adalah kunci penting kejayaan mana-mana jurulatih kebangsaan.
Cheng Hoe yang kembali menyertai pasukan kebangsaan berkata beliau mahu bantu Malaysia untuk sekali lagi layak ke Piala Asia, selain menyokong perancangan jangka panjang ke Piala Dunia 2030.
“Apa yang penting sekarang ialah saya gunakan pengalaman saya untuk membantu bukan sahaja skuad senior, tetapi juga skuad bawah 23 serta kumpulan umur lain. Mereka inilah masa depan pasukan negara.”
Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu turut mengakui cabaran besar yang bakal dihadapi oleh pemain muda terutamanya bawah 23 tahun susulan pemansuhan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).
Beliau bagaimanapun menyambut baik usaha FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang menganjurkan liga semi-profesional Liga A1 menerusi AFL (Amateur Football League) yang dilihat boleh menjadi platform baharu mencungkil bakat pelapis negara.
“Memang rugi bila Piala MFL dimansuhkan, tapi Liga A1 boleh jadi pentas untuk mereka bersaing dan menyerlah.”
Beliau juga menekankan pentingnya disiplin, kerja keras, dan kepercayaan diri dalam kalangan pemain muda untuk menembusi skuad utama kelab dan kebangsaan.
“Tiada jalan pintas dalam bola sepak. Pemain muda perlu percaya kepada impian sendiri, jangan mudah putus asa. Satu hari nanti mereka mampu menyarung jersi Harimau Malaya.”
Sementara itu, Cheng Hoe menyeru seluruh ekosistem bola sepak negara iaitu dari penyokong, kelab, hinggalah kepada pentadbir untuk terus bersatu hati membina masa depan bola sepak Malaysia yang lebih cerah.