Konvensyen Belia Kebangsaan 2025 serlah aspirasi digital belia Malaysia

Lebih 300 belia dari seluruh negara berhimpun di Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) 2025 yang berlangsung di RexKL, Kuala Lumpur dengan semangat tinggi sempena sambutan Hari Belia Negara.
Mengangkat tema “Belia dan AI – Dari Inovasi ke Dominasi”, konvensyen ini menjadi medan wacana strategik dan kreatif dalam meneroka peranan serta potensi anak muda dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
Konvensyen ini mengetengahkan pelbagai sesi panel melibatkan tokoh industri seperti SAC Datuk Nik Ezanee, Dr. Afnizanfaizal (MRANTI), dan wakil Rev Media, MBM serta startup AI muda.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni digital, bacaan ikrar belia, serta pelancaran Bendera Tunas Madani 30.

Dalam ucapan penutup, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, menekankan pentingnya belia sebagai peneraju masa depan digital negara.
“Belia bukan sekadar pengguna teknologi, mereka adalah pengemudi perubahan,” ujarnya sambil menyeru penguasaan AI, siber, blockchain dan automasi dengan berpaksikan nilai etika dan tanggungjawab sosial.

Statistik terkini menunjukkan 84% belia Malaysia aktif secara digital, dan 3 daripada 5 syarikat pemula AI diasaskan belia bawah 35 tahun.
Inisiatif kerajaan seperti Pejabat AI Kebangsaan, Malaysia AI Roadmap, dan Program BMD turut dipaparkan sebagai usaha membina ekosistem teknologi yang mampan.
MBM menyifatkan KBK 2025 sebagai lonjakan paradigma belia Malaysia ke arah masa depan yang bukan sahaja canggih teknologinya, tetapi juga tinggi nilainya.