Cristiano Ronaldo Kekal Atlet Terkaya Dunia 2025 Forbes
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai atlet terkaya dunia apabila sekali lagi menduduki tempat teratas dalam senarai Forbes bagi tahun 2025, dengan pendapatan mencecah $275 juta (RM1.3 bilion).
Dipetik dari Foxsports, ini merupakan tahun ketiga berturut-turut bintang Portugal itu berada di kedudukan pertama.
Senarai tahunan Forbes ini merangkumi pendapatan keseluruhan atlet dari gaji, bonus, tajaan, serta bayaran penampilan.
Menurut laporan, kesemua 10 atlet teratas berjaya meraih sekurang-kurangnya $100 juta dalam tempoh setahun.
Di tempat kedua ialah bintang NBA, Stephen Curry dari Golden State Warriors dengan pendapatan $156 juta, diikuti peninju terkenal Tyson Fury di tempat ketiga yang meraih $146 juta.
Fury merupakan satu-satunya atlet bukan sukan berpasukan dalam senarai tahun ini.
Tempat keempat pula menjadi milik pemain NFL, Dak Prescott dari Dallas Cowboys yang mencatat $137 juta, manakala juara dunia Argentina, Lionel Messi, berada di kedudukan kelima dengan $135 juta.
Senarai ini turut menyaksikan kelibat dua lagi bintang NBA – LeBron James (ke-6, $133.8 juta) dan Kevin Durant (ke-10, $101.4 juta).
Dunia besbol tidak ketinggalan dengan Juan Soto dan Shohei Ohtani masing-masing di tempat ke-7 dan ke-9.
Kehadiran beberapa pemain bola sepak seperti Karim Benzema (ke-8, $104 juta) turut mengukuhkan dominasi sukan tersebut dalam senarai.
Secara keseluruhan, senarai ini membuktikan kekuatan jenama peribadi dan pengaruh komersial yang luar biasa dimiliki oleh atlet global masa kini.