Raja Isa selangkah cipta sejarah bersama Indera SC

105

Jurulatih berpengalaman dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, kini selangkah lagi untuk mencipta sejarah peribadi apabila membimbing pasukan Indera SC ke pentas final Piala FA Brunei 2024/25. 

Perlawanan akhir itu dijadual berlangsung pada 18 Mei 2025 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, menyaksikan Indera SC menentang juara bertahan DPMM FC II.


Raja Isa, yang berusia 59 tahun, dilantik secara rasmi oleh pihak pengurusan kelab pada 9 Mei 2025, hanya beberapa hari sebelum perlawanan separuh akhir kedua. 

Dalam debut sulungnya bersama pasukan, beliau berjaya membawa Indera SC mencatat kemenangan bergaya 4-2 ke atas MS ABDB, menjadikan agregat keseluruhan 7-3 dan melayakkan kelab itu ke final buat pertama kali sejak musim 2017–2018.

“Saya menerima tawaran dari pemilik kelab, Pengiran Anak Taha pada 9 Mei 2025 sebagai persiapan untuk Piala FA Brunei musim ini. Bagi saya ini adalah satu bentuk kepercayaan yang besar buat saya dari pihak pengurusan untuk memastikan Indera SC mampu bersaing di final bertemu DPMM FC II.

Saya berharap para pemain mampu fokus setelah beberapa tahun tidak ke final dan berdisiplin dalam menerapkan taktikal dan strategi untuk menang sekaligus bergelar sebagai juara.

Sebagai jurulatih luar, semoga dengan izin Allah, urusan kami dipermudahkan untuk muncul juara dan saya mampu mengibarkan bendera Malaysia tinggi seperti waktu saya melatih di Indonesia dan Bangladesh,”

katanya.

Raja Isa bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak serantau kerana sebelum ini beliau pernah mengendalikan lapan pasukan di Indonesia termasuk Persipura Jayapura, PSM Makassar dan PSMS Medan. 

Selain itu, beliau turut berkelana ke Bangladesh bagi membimbing kelab-kelab utama di sana. 

Kini, peluang mencipta sejarah di bumi Brunei menjadi pembuktian baharu dalam kerjaya beliau.

Meskipun baru memulakan tugasan di Brunei, beliau melihat perkembangan bola sepak di negara itu sangat positif. 

Katanya, potensi Brunei untuk membangun sebagai kuasa bola sepak ASEAN adalah tinggi, namun memerlukan kerjasama semua pihak dalam membentuk identiti bola sepak tempatan yang mantap.

“Pandangan peribadi saya adalah bola sepak di Brunei ini mempunyai potensi besar untuk berada di tahap terbaik dengan semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan penerapan filosofi dan DNA yang sesuai untuk bola sepak Brunei.”

Andai berjaya merangkul kejuaraan, Raja Isa akan menjadi jurulatih Malaysia pertama menjulang trofi domestik di Brunei dan ia satu pencapaian yang pastinya mengangkat reputasi beliau serta membanggakan negara.