Arteta mahu Arsenal cipta sejarah baharu, Odegaard janji bawa pulang trofi
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan sudah tiba masanya untuk kelab itu mencipta sejarah mereka sendiri selepas mengesahkan tempat ke UEFA Champions League musim 2025/26.
Dipetik dari Premierleague, kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United mengesahkan kedudukan lima teratas, namun musim ini tetap berakhir tanpa sebarang trofi buat The Gunners.
Gol tunggal Declan Rice cukup untuk menewaskan Newcastle, yang juga memburu tempat kedua, namun Arsenal kini hanya memerlukan satu mata menentang Southampton untuk disahkan sebagai naib juara buat kali ketiga berturut-turut.
Dalam ucapan penuh emosi kepada penyokong, Arteta mengakui kegagalan membawa pulang trofi amat mengecewakan, namun menyeru semua pihak untuk terus mengejar impian dengan semangat dan keyakinan.
“Kita mesti mula mencipta sejarah kita sendiri di stadium ini. Ia tidak akan mudah, tetapi pemain-pemain ini mempunyai keinginan dan kualiti untuk melakukannya,” kata Arteta.
Beliau turut menjawab kritikan terhadap pasukannya, sambil menegaskan bahawa kejayaan mengekalkan kedudukan dalam kelompok dua teratas selama tiga musim adalah sesuatu yang patut dibanggakan.
Sementara itu, kapten pasukan, Martin Odegaard, turut mengakui kekecewaan tidak menjulang sebarang trofi, namun percaya Arsenal kini berada di landasan tepat.
“Kita perlu belajar daripada semua pengalaman musim ini, yang baik dan buruk serta gunakan ia untuk kembali lebih kuat musim depan,” katanya.
Odegaard juga menzahirkan penghargaan kepada penyokong atas sokongan berterusan, sambil berjanji bahawa skuad Arsenal akan berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang kejuaraan yang dinanti-nantikan musim depan.