Conor Bradley ikat kontrak baharu jangka panjang bersama Liverpool
Pemain muda berbakat, Conor Bradley, hari ini mengesahkan komitmennya bersama Liverpool FC dengan menandatangani kontrak jangka panjang baharu di AXA Training Centre.
Dipetik dari LFC, pemain berusia 21 tahun itu telah bersama kelab sejak 2019 selepas berhijrah dari Dungannon United dan menandatangani kontrak profesional pertamanya pada Julai 2020 dan sejak itu, kariernya terus berkembang pesat.
“Saya sangat bangga dan gembira menandatangani satu lagi kontrak. Harap kami dapat terus cipta lebih banyak kejayaan bersama,” kata Bradley yang kini dianggap antara prospek paling cerah dalam skuad Liverpool.
Selepas membuat penampilan sulung pada 2021 dalam saingan Carabao Cup menentang Norwich City, Bradley dipinjamkan ke Bolton Wanderers untuk musim 2022-23.
Ketika di sana, beliau menunjukkan prestasi cemerlang, dinobatkan sebagai Player of the Year, Players’ Player of the Year dan membantu pasukan menjulang trofi EFL di Wembley.
Kembali ke Anfield pada musim panas 2023, Bradley berjaya menempatkan diri dalam skuad utama dengan 27 penampilan musim ini.
Beliau turut menjaringkan gol pertamanya menentang Chelsea dan memenangi pingat kejuaraan Carabao Cup menentang pasukan yang sama sebulan kemudian.
Bradley memainkan peranan penting dalam kemaraan Liverpool di bawah kendalian Arne Slot dan menyasarkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Saya mahu bermain lebih banyak dan menang lebih banyak trofi. Itulah matlamat utama saya dan pasukan ini,” tambahnya.
Dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan, masa depan Bradley di Anfield kelihatan cerah dan penuh potensi untuk menjadi tonggak utama The Reds dalam tempoh beberapa tahun akan datang.