Manchester United belum cukup kuat untuk cabar kejuaraan liga – Ryan Giggs

138

Lagenda Manchester United, Ryan Giggs mengakui pasukan itu masih belum cukup kuat untuk mencabar kejuaraan liga Premier League (PL) biarpun mereka telah berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Europa League.

Menurut Giggs, sekalipun mereka berjaya julang trofi Europa League musim ini ia bukanlah musim yang bagus buat pasukan, sekurang-kurangnya musim ini dapat diselamatkan.


“Saya rasa apabila musim bermula, matlamatnya adalah untuk memenangi trofi dan layak ke Champions League (UCL). Buat masa ini United belum berada pada tahap yang cukup untuk bersaing dalam Premier League.

Anda memulakan musim dengan sasaran tempat empat teratas dan memenangi satu trofi. Jelas sekali, kami tidak berada dalam kelompok empat teratas, tetapi jika kami layak ke Champions League melalui Europa League dan memenangi satu trofi, maka ya — walaupun ia bukan musim yang hebat, sekurang-kurangnya musim itu dapat diselamatkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Giggs lagi, beliau sendiri terkejut dengan tahap prestasi skuad The Red Devils musim ini, namun berharap musim hadapan mereka bangkit.

Dalam pada itu, Giggs turut menjelaskan mengenai kenyataannya sebelum ini yang tidak bersetuju sekiranya Marcus Rashford kembali ke Old Trafford kerana merasakan pemain itu kini lebih menyerlah bersama Aston Villa.

“Bukan saya tak mahu dia kembali, saya sayang Marcus. Saya adalah sebahagian daripada staf kejurulatihan yang beri dia debut. Tapi beliau tidak kelihatan seperti Rashford yang saya kenal. 

Beliau tak nampak gembira. Bila dia bermain dengan Aston Villa, dia nampak bebas dan gembira. Jadi mungkin lebih baik untuk kedua-dua pihak.”

Giggs pada masa sama mengakui United perlukan masa untuk kembali ke zaman kegemilangan, namun baginya apa yang penting adalah ada pasukan memperlihatkan peningkat dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Giggs juga mengakui sosial media ketika ini memberi kesan kepada prestasi pemain muda dek tekanan daripada peminat.

“Ya, pasti. Sekarang, jika anda bermain satu perlawanan bagus, anda dipuji melangit. Tapi jika satu perlawanan buruk, anda terus dikecam. Ia sangat mencabar. Zaman saya pun tekanan tinggi, tapi sekarang dengan media sosial, lebih mencabar. Ia satu lagi cabaran yang perlu dihadapi pemain profesional.”

Giggs ketika ini sibuk dengan jelajah promosi perlawanan persahabatan antara kelab gergasi EPL, Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei 2025.