Rekod saya masih kekal dan ini bukan sesuatu yang positif – Noraseela Khalid
Lagenda olahraga negara, Noraseela Khalid berharap agar atlet muda negara cabar diri dan berusaha memecahkan rekod kebangsaan yang telah bertahan terlalu lama, khususnya dalam acara-acara utama seperti larian 400 meter berpagar — acara yang pernah menjulang namanya di pentas antarabangsa.
Menurut Noraseela, rekod kebangsaan 400 meter lari berpagar miliknya yang masih kekal sehingga hari ini adalah satu petanda bahawa masih ada kekurangan dari segi pembangunan atlet.
“Saya sudah lakukan yang terbaik dan tiada penyesalan. Tapi sekarang saya harap generasi baru boleh tampil lebih baik dari generasi saya.
Rekod kebangsaan yang kekal terlalu lama, itu tidak begitu baik. Ia menunjukkan kita masih belum cukup mencabar had sendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Noraseela menganggap kejayaan terkini Zaidatul Husniah memecahkan rekod 100 meter wanita milik G. Shanti sebagai satu langkah positif, namun mengingatkan bahawa atlet muda harus berani tampil mencabar batas kemampuan diri sendiri — tanpa mengira usia atau status sebagai “atlet senior” mahupun “atlet muda”.
“Perkara ini tak sepatutnya berlaku iaitu satu rekod kekal terlalu lama. Ada yang hanya tahap Asia Tenggara, bukan Asia. Atlet muda perlu mula cabar diri mereka untuk memperbaiki rekod sedia ada.”
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai atlet pecut muda negara Azeem Fahmi yang kini berlatih di Amerika Syarikat, Noraseela menyatakan bahawa masyarakat perlu lebih bersabar dan menyokong atlet seperti Azeem yang sedang menyesuaikan diri dengan sistem latihan dan akademik di luar negara.
“Azeem bukan sahaja atlet, tapi juga pelajar. Adaptasi itu ambil masa. Kita kena sabar dan beri sokongan, bukan keji atau kritik melulu.”