Messi minta Inter Miami bersatu hadapi krisis prestasi tidak menentu

68

Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi mengakui Inter Miami sedang melalui saat-saat sukar selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Orlando, mencatat hanya satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan. 

Dipetik dari Foxsports, Messi yang bercakap selepas perlawanan bersama menyeru rakan sepasukan untuk kekal bersatu dan menghadapi cabaran ini bersama.


“Saya tahu ini masa yang sukar, tapi kita akan mengharunginya. Sekarang kita akan lihat sama ada kita benar-benar satu pasukan. Ketika semuanya berjalan lancar, semuanya nampak mudah. Tapi bila kita diuji, inilah masa untuk bersatu,” kata Messi.

Inter Miami kini berada di kedudukan keenam dalam Eastern Conference Major League Soccer (MLS) dengan rekod 6 kemenangan, 3 seri dan 4 kekalahan. 

Prestasi ini jauh berbeza daripada musim lalu di mana mereka mencatat rekod terbaik dalam sejarah musim biasa MLS dengan 22 kemenangan dan hanya 4 kekalahan.

Messi menekankan bahawa pasukan perlu segera bangkit menjelang Piala Dunia Kelab yang bermula pada 14 Jun ini. 

“Kami kena habiskan baki perlawanan Mei ini dengan sebaik mungkin untuk bersedia hadapi kejohanan itu,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Javier Mascherano memberi bayangan Messi mungkin kekal lebih lama bersama Inter Miami. 

Kontrak semasa Messi akan tamat pada akhir musim ini, tetapi kelab berharap dapat mengekalkannya sehingga 2026, tahun kelab itu dijadualkan berpindah ke stadium baharu.

Kehadiran semula Jordi Alba hingga 2027 turut dilihat sebagai petanda usaha kelab mengekalkan bintang utama mereka. 

Mascherano menyatakan harapan agar berita baik mengenai masa depan Messi akan diumumkan tidak lama lagi, demi kelab, penyokong dan juga MLS secara keseluruhan.