MFN bawa nafas baharu dunia sukan kombat Malaysia – Max Lee
Kejohanan Mega Fight Night (MFN) mencipta sejarah tersendiri sebagai pertandingan sukan kombat pertama di Malaysia yang menghimpunkan enam disiplin berlainan — boxing, kickboxing, muaythai, gusti, judo, dan Brazilian Jiujitsu — di bawah satu pentas yang sama.
Selepas kejayaan penganjuran peringkat suku akhir yang berlangsung selama dua hari di MMU Cyberjaya, Presiden MFN, Max Lee menyifatkan ia sebagai pencapaian besar meskipun penuh cabaran.
“Dua hari ini sangat meletihkan, terutamanya apabila kita mulakan hari pertama dengan enam disiplin sekaligus. Koordinasi sangat mencabar tetapi secara keseluruhan, kami berjaya atasinya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Max, hari pertama berlangsung dalam keadaan yang padat dan sukar, manakala hari kedua lebih lancar hasil pemahaman yang lebih baik dalam menyelaras aliran kerja dengan pelbagai sukan.
“Saya sangat gembira kerana kita mengakhiri acara ini dengan cukup baik.”
Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan untuk peringkat separuh akhir dan akhir yang dijadual berlangsung masing-masing pada 16 Ogos dan 6 Disember 2025, Max berkata fokus utama adalah memperbaiki aspek koordinasi dan penyelarasan antara pasukan, media dan promosi.
“Segala aspek dari video sehinggalah matchmaking boleh dipertingkat. Saya masih dalam fasa pembelajaran dan mahu lakukan yang terbaik.”
Walaupun acara seterusnya akan berpindah ke HELP University, Max tetap memuji MMU Cyberjaya sebagai tuan rumah yang efisien dan profesional.
“Dewan cantik, penghawa dingin sejuk, LED sangat jelas. Saya sangat-sangat puas hati.”
Max juga menyeru orang ramai untuk terus menyokong Mega 8 Fighters dan mengikuti perjalanan para pejuang yang bertanding.
“Ramai antara mereka ada kisah menarik. Saya mahu platform ini menjadi batu loncatan ke pentas lebih besar — mungkin ke One Championship.”
MFN kini dilihat sebagai medan baharu bagi mencungkil dan mengangkat bakat tempatan dalam arena sukan kombat tanah air.