Aksi menentang Cape Verde akan beri bayangan samada Malaysia mampu ‘makan’ Vietnam atau tidak

Peminat bola sepak tanah air teruja menjelang pertemuan antara pasukan kebangsaan Malaysia dan Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang bakal menjadi medan ujian sebenar buat skuad negara menjelang aksi Penting menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
Cape Verde bukan calang-calang lawan kerana meskipun mereka datang dari benua Afrika, namun mereka berada dalam ranking FIFA ke-72 dunia, sekaligus lebih baik daripada Malaysia yang kini berada di ranking ke-131 dunia.
Skuad yang diberikan jolokan The Blue Sharks ini juga mempunyai reputasi sebagai pasukan yang kerap mencipta kejutan di pentas Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), malah pada edisi lalu mereka berjaya mara ke suku akhir AFCON 2023 di mana mereka berjaya tumbangkan pasukan gergasi seperti Ghana.
Skuad kendalian Pedro Leitão Brito atau dikenali sebagai Bubista turut dibarisi oleh pemain-pemain yang beraksi di liga terbaik Dunia seperti LaLiga (Sepanyol), Ligue 2 (Perancis) dan Eredivisie (Belanda).
Antara tonggak utama termasuk Logan Costa (Villareal), Jamiro Monteiro (PEC Zwolle) dan penyerang berbisa Djaniny Tavares (Bastia).
Untuk lima perlawanan terakhir Cape Verde, mereka telah mencatatkan 2 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan.
Manakala skuad Harimau Malaya pula dalam lima perlawanan terakhir mencatatkan 2 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan.
Bola sepak Malaysia yang kini direvolusikan dengan usaha memperkuatkan pasukan menerusi kehadiran beberapa pemain warisan baharu iaitu Hector Havel, Gabriel Palmero dan terbaru Rodrigo Holgado diharap dapat memberi dimensi baharu dalam permainan skuad negara terutamanya dalam menghadapi pasukan-pasukan kuat seperti Vietnam.
Perlawanan ini bakal menjadi penanda aras sebenar keupayaan skuad Peter Cklamovski kerana jika Malaysia mampu memberikan saingan atau meraih keputusan positif menentang Cape Verde, ia memberikan keyakinan bahawa Harimau Malaya sudah bersedia untuk menumbangkan Vietnam, satu pasukan yang sering menjadi duri dalam daging buat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebaliknya, jika Malaysia kelihatan bergelut dengan fizikal, tempo permainan tinggi dan pressing Cape Verde, ia memberi isyarat jelas bahawa masih banyak kerja rumah perlu dilakukan sebelum bertemu Vietnam.
Apa pun keputusannya, aksi menentang Cape Verde bukan sekadar perlawanan pemanas badan, tetapi satu cermin sebenar untuk menilai sama ada Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk ‘makan’ Vietnam — atau sekadar terus bermimpi.