Matt Turner belum pasti penjaga gol utama AS di Gold Cup – Pochettino
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino memberitahu bahawa penjaga gol Amerika Syarikat, Matt Turner, belum dijamin akan kekal sebagai pilihan utama pasukan kebangsaan untuk kejohanan Gold Cup CONCACAF 2024.
Dipetik dari Foxsports, walaupun Turner telah menjadi watak penting dalam skuad AS sejak Piala Dunia 2022 dengan 14 penampilan berturut-turut dalam perlawanan kompetitif, kekurangan minit permainan di peringkat kelab kini menjejaskan kedudukannya.
Turner, yang kini bersama Crystal Palace, tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan sejak 23 Mac lalu dan hanya mencatat empat penampilan musim ini iaitu satu di Piala Liga dan tiga di Piala FA.
“Sehingga kini, Matt adalah penjaga gol nombor satu kami. Tetapi itu boleh berubah. Kami terbuka untuk beri peluang kepada penjaga gol lain mencabar tempat tersebut.”
Turner kini bersaing dengan lima penjaga gol lain dalam senarai awal 60 pemain iaitu Zack Steffen, Matt Freese, Patrick Schulte, Diego Kochen dan Chris Brady.
Empat akan dipilih untuk kem latihan menjelang aksi persahabatan menentang Turkiye dan Switzerland sebelum kejohanan bermula.
Pochettino menegaskan, untuk Turner mengekalkan statusnya sebagai penjaga gol utama negara, dia perlu bermain secara konsisten di peringkat kelab.
“Dalam masa setahun, dia perlu cari jalan untuk bersaing setiap minggu.”
Turner mula mencuri perhatian selepas menyertai Arsenal dari New England Revolution pada 2022. Namun, sejak itu beliau bergelut untuk mendapatkan minit permainan, termasuk ketika dipinjamkan ke Nottingham Forest dan kini bersama Palace.
AS dijadual menentang Turkiye dan Switzerland sebelum memulakan kempen Gold Cup menentang Trinidad & Tobago, Arab Saudi dan Haiti.