FIB masih semak permohonan Lesen Kebangsaan tapi DPMM FC sahkan sertai Liga Super

267

FIB Masih Semak Permohonan Lesen Kebangsaan tapi DPMM FC sahkan sertai Liga Super

Peminat bola sepak tanah air kini sedang menunggu pengumuman daripada badan bebas First Instance Body (FIB) mengenai keputusan permohonan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super musim 2025/26.


FIB menerusi satu kenyataan media baru-baru ini memaklumkan bahawa Jawatankuasa FIB memerlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan semakan dokumen yang telah dimuat naik sebelum tarikh tutup 10 Mei lalu.

Pengerusinya, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata sebaik sahaja proses semakan semua dokumen selesai, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan permohonan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/25.

Walaupun keputusan Lesen Kebangsaan belum diumumkan lagi, namun kelab yang berpengkalan di negara jiran Brunei iaitu DPMM FC sudah pun mengesahkan bahawa pasukan mereka akan bersaing di Liga Super pada musim hadapan.

Berita tersebut disiarkan di laman sesawang rasmi kelab DPMM yang mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani bekas pemain Penang FC iaitu Fairuz Zakaria untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Super.

Malah mereka juga kini sedang rancak membuat persiapan rapi menjelang musim baharu Liga Super yang dijangka akan membuka tirainya pada Ogos 2025.

DPMM bukan asing dalam kancah bola sepak Malaysia kerana sebelum ini mereka pernah bermain di Liga Perdana dan Liga Super dari tahun 2005 hingga 2008 sebelum menyertai liga negara jiran Singapore Premier League (SPL).

Tidak dinafikan kehadiran DPMM dapat memeriahkan lagi saingan Liga Super pada musim hadapan susulan penarikan diri pasukan gergasi Perak FC dek masalah kewangan.

Bagaimanapun, timbul persoalan daripada peminat iaitu bagaimanapun DPMM boleh sahkan mereka akan bersaing di Liga Super sedangkan FIB masih belum umumkan keputusan Lesen Kebangsaan.

Apa pun sama-sama kita nanti maklum balas daripada pihak FIB dan perkembangan terkini.