Guardiola ugut letak jawatan jika saiz skuad tidak dikurangkan

35

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengancam untuk meletak jawatan sekiranya kelab itu gagal mengurangkan saiz skuad sedia ada menjelang musim baharu. 

Dipetik dari BBC, Guardiola menyifatkan beban emosi kerana terpaksa meninggalkan ramai pemain daripada senarai perlawanan sebagai sesuatu yang “mustahil untuk jiwanya”.


Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris baru-baru ini menentang Bournemouth yang menyaksikan kemenangan 3-1, beberapa pemain seperti Abdukodir Khusanov, Savinho, James McAtee, Claudio Echeverri dan Rico Lewis tidak tersenarai dalam skuad hari perlawanan. 

Beliau menegaskan bahawa situasi ini tidak boleh diteruskan.

Katanya, “Saya sudah beritahu kelab, saya tidak mahu skuad besar. Saya tidak mahu lima atau enam pemain ‘beku’ tanpa bermain. Jika kelab kekalkan skuad besar, saya akan tinggalkan kelab.”

Musim ini, City memiliki lebih 28 pemain senior tersenarai, tidak termasuk pemain bawah 21 tahun dan yang sedang dipinjamkan. 

Guardiola mahu jumlah pemain dikurangkan bagi mengelakkan tekanan dalam pemilihan dan memastikan keharmonian pasukan dapat dikekalkan.

City telah membelanjakan lebih £200 juta pada Januari dengan membawa masuk Khusanov, Omar Marmoush, Nico Gonzalez dan Vitor Reis. 

Satu-satunya pemain yang sah akan meninggalkan kelab adalah Kevin De Bruyne, sementara masa depan Jack Grealish masih tidak menentu.

Menurut Guardiola, skuad yang terlalu besar menyukarkan hubungan antara pemain dan menjejaskan semangat pasukan. 

Beliau menggesa pihak kelab supaya memastikan skuad lebih kecil, sambil menyatakan bahawa pemain akademi boleh dipanggil jika berlaku kecederaan.

“Saya tidak boleh terus tinggalkan enam pemain setiap minggu. Ini bukan cara saya bekerja,” katanya dengan tegas. 

Guardiola masih mempunyai baki kontrak hingga 2027, tetapi memberi isyarat jelas beliau tidak akan bertolak ansur dalam isu ini.