Tottenham tamatkan kemarau trofi 17 tahun selepas julang trofi Europa League
Tottenham Hotspur menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun selepas menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan akhir Europa League, sekali gus menjulang kejuaraan Eropah pertama mereka sejak 1984.
Dipetik dari Foxsports, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Brennan Johnson pada penghujung separuh masa pertama, memberikan Spurs kemenangan berharga di Stadium Puskas Arena.
Kejayaan ini turut menjamin tempat mereka dalam saingan UEFA Champions League musim depan, meskipun mereka menamatkan musim di kelompok bawah English Premier League.
Ini merupakan trofi utama pertama yang diraih Tottenham sejak memenangi English League Cup pada 2008 dan kejayaan pertama di pentas Eropah sejak menjuarai UEFA Cup— kini dikenali sebagai Europa League lebih empat dekad lalu.
Bagi ketua jurulatih, Ange Postecoglou, kejayaan ini hadir pada waktu yang tepat selepas beliau bergelut mengekalkan prestasi pasukan sepanjang musim.
Kemenangan ini juga menjadi penebus kekecewaan mereka dalam final Champions League 2019 apabila tewas kepada Liverpool.
Sebaliknya, tekanan terus meningkat ke atas jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, selepas kekalahan ini menafikan peluang pasukannya untuk menyertai sebarang kejohanan Eropah musim depan.
United menamatkan kempen domestik di tangga ke-16 liga, mencetuskan spekulasi masa depan Amorim bersama kelab.
Kemenangan Tottenham ini bukan sahaja menjadi penawar duka buat penyokong mereka, malah satu isyarat kebangkitan baharu untuk musim akan datang.