Barcelona sambung kontrak Hansi Flick hingga 2027
Barcelona secara rasmi melanjutkan kontrak ketua jurulatih mereka, Hansi Flick sehingga Jun 2027 selepas musim pertama yang cemerlang bersama kelab Catalan itu.
Dipetik dari BBC, Flick, yang pada awalnya menandatangani kontrak dua tahun pada Mei 2024, diberikan kepercayaan baharu setelah berjaya membawa kelab tersebut memenangi tiga kejuaraan utama.
Di bawah bimbingan Flick, Barcelona muncul juara La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol musim ini, sekaligus mengembalikan dominasi kelab tersebut di arena domestik.
Satu-satunya kekurangan adalah kekalahan mereka kepada Inter Milan di separuh akhir UEFA Champions League.
Dalam satu kenyataan, kelab menyifatkan Flick sebagai individu yang membawa semangat baharu kepada pasukan.
“Hansi Flick telah menggembirakan penyokong Barca bukan sahaja dengan kepercayaan yang diberikannya kepada pasukan, tetapi juga dengan kebangkitan epik dan kejayaan yang dicapai,” kata kelab itu.
Bekas pengurus Bayern Munich itu pernah mencipta sejarah apabila membawa kelab Jerman itu menjulang treble pada tahun 2020.
Beliau kemudian mengambil alih skuad kebangsaan Jerman, namun diberhentikan pada September 2023 sebelum dilantik menggantikan Xavi di Camp Nou.
Dengan sambungan kontrak ini, Barcelona berharap Flick akan terus membina kejayaan dan membawa kelab kembali sebagai kuasa besar Eropah.
“Hansi Flick sedang mencipta sejarah di FC Barcelona, dan kami yakin kejayaan itu akan berterusan,” kata kenyataan rasmi kelab.