Program Podium disambung, nafas baru untuk atlet negara
Keputusan kerajaan untuk mengembalikan semula Program Podium dilihat sebagai penyambung nyawa kepada atlet-atlet yang sebelum ini disingkirkan daripada mengikuti latihan ini. Isu seperti kekurangan dana dan tajaan dilihat menjadi punca utama yang dihadapi oleh atlet-atlet ini.
Program ini diberitakan akan diteruskan dengan dana yang lebih besar di mana ianya dilihat akan membantu atlet-atlet ini untuk menampilkan aksi terbaik ketika beraksi mewakili negara.
Sedikit masa lalu, kecoh di media sosial mengenai beberapa keluhan atlet seperti Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar), Abdul Rahman Lee (lempar cakera) dan Zaidatul Husniah (100 meter & 200 meter) yang digugurkan daripada program ini.
Keputusan kerajaan ini dilihat sebagai jalan terbaik buat atlet-atlet yang digugurkan ini untuk menyelamatkan karier sukan mereka daripada terkubur.
Selain itu juga, tindakan kerajaan ini dilihat sebagai satu langkah popular memandangkan terdapat ura-ura yang menyatakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan pada tahun ini. Ianya menjadi satu tindakan penting untuk meraih seberapa banyak undi daripada rakyat Malaysia.
Sedikit kemusykilan timbul apabila sebelum ini diberitakan bajet untuk bidang sukan terpaksa dipotong sehingga menyebabkan atlet-atlet digugurkan daripada program di bawah Majlis Sukan Negara. Dan secara tiba-tiba juga program ini diteruskan dan diberikan peruntukan yang besar bernilai RM 240 juta sehingga tahun 2025.
Adakah benar ini merupakan langkah popular yang dilakukan kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan?
Antara sebab lain mengapa Program Podium ini diteruskan berkemungkinan untuk mendapatkan kembali sokongan terutamanya atlet-atlet negara yang bakal menghadapi tiga kejohanan besar tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.
Sudah pastilah dengan dana yang besar, atlet-atlet ini boleh diharapkan untuk menampilkan aksi yang terbaik dan seterusnya mencipta kejayaan yang gemilang buat negara.
Jika program ini diteruskan, maka persiapan atlet-atlet ini boleh dikatakan akan lebih teratur dan sistematik kerana boleh menggunakan segala fasiliti di bawah Institut Sukan Negara (ISN). Sebagai contoh, ratu pecut negara Zaidatul Husniah sebelum ini berdepan sedikit isu untuk berlatih akibat daripada namanya digugurkan daripada program ini.
Seolah-olah diberikan nyawa kedua untuk mewakili negara, sudah pastilah ianya memberikan sedikit motivasi tambahan kepada atlet-atlet yang digugurkan untuk kembali bersemangat mewakili negara.
Selain itu juga, suntikan dana besar untuk Program Podium ini juga dilihat sebagai langkah selamat untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh setiap persatuan sukan dalam temasya-temasya besar tersebut.
Dana sudah besar, tiada alasan lagi untuk persatuan sukan dan atlet yang bernaung di bawah mereka untuk mencipta alasan andai kata gagal untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan sebelum bermulanya temasya.