Momentum Albania masih bersama saya – Azurin Mazlan

106

Baru sahaja mengecapi kejayaan bersejarah di Albania, penjaga gol kebangsaan Azurin Mazlan kini menyuntik semangat kejuaraannya ke dalam persiapan Malayan Tigress di bawah ketua jurulatih baharu, Joel Cornelli bagi menghadapi siri perlawanan antarabangsa Tier 1 Tri Nation di Thimphu, Bhutan.

Azurin memberitahu walaupun beliau baru tiba di Kuala Lumpur beberapa jam sebelum kem latihan pertama bermula, beliau tetap bersemangat biarpun keletihan.


“Saya tiba pada pukul 9 pagi, dan ya, saya penat, tapi sangat teruja untuk memulakan bab baharu bersama pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kejayaan terkini beliau bersama KFF Vllaznia, yang menyaksikan beliau memainkan peranan penting dalam memenangi Liga Wanita Albania, menambah keyakinannya. 

“Momentum dari Albania tetap bersama saya. Saya harap pengalaman yang saya peroleh di sana dapat meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.”

Beliau pada masa sama turut merasai perbezaan ketara bermain di Eropah di mana permainan di sana lebih intensiti.

“Tempo liga Albania sangat berbeza. Walaupun tidak mahu membandingkannya secara langsung dengan Malaysia, jurang antara tahap domestik kita dengan liga elit Eropah seperti UEFA Women’s Champions League (UWCL) jelas ketara. Adaptasi dengan intensiti itu telah mendorong saya untuk berkembang.”

Dalam pada itu, Azurin turut menyambut baik kehadiran pengendali baharu Cornelli disifatkan sebagai titik perubahan buat skuad Malayan Tigress.

Tambahnya, biarpun semua agak gementar dengan perubahan tetapi mereka perlu segera  adaptasi dengan taktik, gaya permainan dan falsafah yang diterapkan.

“Pengalaman dan latar belakangnya tepat apa yang kita perlukan. Kami tidak sabar untuk mempelajari sistemnya dan memperhalusi permainan. Kem ini bukan sekadar untuk mengukuhkan hubungan, tapi juga menyelaraskan visi dengan strateginya.”

Sementara itu, Azurin berkata walaupun mereka berada di bawah tekanan, namun mereka juga lapar kejayaan dan mahu membuktikan kemampuan mereka.

Sebagai pemain berpengalaman, beliau ingin memimpin melalui contoh.

“Peranan saya bukan sekadar menyelamatkan gol—tapi juga berkongsi apa yang dipelajari di luar negara dan membangkitkan semangat pasukan.”