AFL terbuka untuk beri peluang kepada KDA FC & Perak FC beraksi di Liga A1

259

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Yusoff Mahadi memberitahu pihak terbuka untuk menerima dua pasukan gergasi dari Liga Super iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC beraksi dalam saingan liga semi-profesional Liga A1 pada musim hadapan.

Yusoff Mahadi berkata demikian susulan pengumuman daripada Malaysian Football League (MFL) yang mengesahkan dua pasukan gergasi daripada utara itu gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada First Instance Body berikutan permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam MFL CLR.


“Secara ringkasnya, Liga A1 sememangnya diwujudkan sebagai platform untuk pasukan-pasukan yang sudah tidak layak atau tersingkir daripada saingan tertinggi, agar mereka dapat meneruskan kesinambungan dan agenda pasukan masing-masing. 

Kita tidak mahu apabila sesebuah pasukan jatuh dari Liga Super, mereka terus lenyap. Dengan adanya Liga A1, mereka masih mempunyai ruang untuk bangkit semula, membina kembali kekuatan pasukan secara berperingkat, dan diharapkan suatu hari nanti mampu kembali bersaing di pentas Liga Super,”

katanya.

Menurut Yusoff Mahadi, walaupun tempoh permohonan untuk menyertai saingan Liga A1 telah pun ditutup baru-baru ini, namun pihak AFL akan membuka ruang untuk memberikan lanjutan masa supaya pasukan-pasukan ayng terlibat dapat buat keputusan samada ingin sertai Liga A1 atau tidak.

“Mengenai proses permohonan untuk bermain di Liga A1, secara teknikalnya tarikh tutup telahpun berlalu. Namun, memandangkan MFL baru sahaja membuat pengumuman rasmi, kami di AFL bersikap terbuka dan bersedia memberikan sedikit masa tambahan supaya pasukan-pasukan terlibat dapat membuat keputusan terbaik demi kelangsungan mereka.

Kami di AFL sentiasa memberi ruang dan mengalu-alukan penyertaan pasukan agar mereka terus kekal aktif, sekali gus menjaga kebajikan pemain serta barisan kejurulatihan dan kakitangan mereka. Bayangkan jika tiada tempat untuk pasukan ini bersaing, para pemain juga akan kehilangan peluang untuk bermain dan meneruskan kerjaya mereka.”

Oleh itu, pihak AFL akan menunggu maklum balas daripada pasukan-pasukan yang terlibat dan jika perlu pihak Mereka akan menghubungi sendiri kedua-dua pasukan tersebut bagi mengetahui hala tuju mereka.

Sementara itu, Yusoff Mahadi menyatakan bahawa walaupun pihaknya menerima lebih 20 permohonan daripada pasukan yang ingin bermain di Liga A1 pada musim hadapan, pihaknya telah menetapkan hanya 14 pasukan sahaja dapat bersaing.

Kesemua 14 pasukan tersebut tidak hanya wajib mempunyai kemampuan dari segi kewangan tetapi juga mempunyai kemampuan dari segi pengurusan pasukan.