Hannah Yeoh tegaskan komitmen Malaysia dalam memperkasa belia ASEAN di Dialog Belia ASEAN 2025

124

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyampaikan amanat penuh semangat sempena pembukaan rasmi Dialog Belia ASEAN Ke-4 2025 yang berlangsung di ibu negara, dengan menegaskan peranan penting golongan muda sebagai pemacu perubahan dan masa depan mampan rantau ini.

Mengangkat tema “Belia untuk Masa Depan Mampan: Memperkasa Inklusiviti dan Mendorong Perubahan di ASEAN”, dialog tahun ini menjadi platform penting kepada belia untuk menyuarakan pandangan, merangka idea dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha memperkukuh pembangunan belia di rantau Asia Tenggara.


“Dalam landskap dunia yang semakin berubah dari segi teknologi, ekonomi dan alam sekitar, belia bukan sahaja pemimpin masa depan, tetapi juga pencetus perubahan hari ini,” ujar YB Hannah dalam ucapannya.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, membawa prinsip “Inklusiviti dan Kelestarian” sebagai teras kepimpinan, sekali gus mengukuhkan komitmen negara dalam memastikan setiap belia diberi peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada masa depan rantau ini.

Hannah turut menyeru agar para belia tampil berani, kreatif dan bersatu dalam menghasilkan kenyataan belia ASEAN yang akan dibentangkan kepada para pemimpin ASEAN kelak. 

Beliau turut menyentuh isu-isu kritikal yang dihadapi golongan muda, termasuk keperluan pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan, tindakan iklim, transformasi digital, serta pembinaan masyarakat yang inklusif.

Dalam menyokong agenda pembangunan belia, ASEAN menurut beliau telah menunjukkan komitmen jitu, dan akan terus memperhebat usaha menerusi pelan jangka panjang seperti Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Rancangan Kerja Belia ASEAN 2026–2030. 

Fokus utama akan merangkumi pendidikan dan kemahiran digital, sokongan kesihatan mental, keusahawanan, infrastruktur, perpaduan budaya, dan tindakan terhadap perubahan iklim.

Beliau turut menggariskan inisiatif Malaysia termasuk menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Belia SDG Malaysia-ASEAN 2025 dan Cabaran Robot Belia ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung Julai ini. 

Kedua-dua program ini bertujuan memperkasa kemahiran teknologi, inovasi dan kepimpinan dalam kalangan belia ASEAN.

Sebagai langkah mencegah penyalahgunaan dadah di kalangan belia, Kementerian Belia dan Sukan juga memperkenalkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi penganjuran konsert. 

Di samping itu, bagi mempertingkatkan prestasi sukan negara, beberapa jurulatih ternama dari ASEAN dalam sukan badminton dan tinju telah dibawa masuk, dan hasilnya kini mula menampakkan perkembangan positif.

Hannah turut menyeru para peserta dialog untuk merebut peluang, membina jaringan, serta mencetus idea demi masa depan ASEAN yang lebih inovatif, inklusif dan mampan.

“Sama-sama kita memperkasa inklusiviti, mendorong perubahan, dan membina masa depan di mana setiap anak muda mampu berkembang,” tegasnya sebelum merasmikan pembukaan rasmi Dialog Belia ASEAN 2025.