Luka Modric tamatkan legasi gemilang bersama Real Madrid
Kapten Real Madrid, Luka Modric, mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab tersebut selepas tamat kempen Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Dipetik dari BBC, pemain tengah berusia 39 tahun dari Croatia itu akan mengakhiri kariernya bersama La Casa Blanca selepas lebih sedekad penuh kejayaan sejak tiba dari Tottenham Hotspur pada tahun 2012.
Modric, pemenang Ballon d’Or 2018, bakal membuat penampilan terakhirnya di Santiago Bernabeu ketika Real Madrid melayan kunjungan Real Sociedad dalam perlawanan terakhir La Liga musim ini.
Dalam satu hantaran emosional di Instagram, beliau menulis: “Detik ini akhirnya tiba. Detik yang saya tidak pernah inginkan, tetapi beginilah lumrah kehidupan dan bola sepak – setiap permulaan pasti ada pengakhiran.”
Sepanjang 13 musim bersama Real, Modric telah menjulang 28 kejuaraan, menjadikannya pemain paling berjaya dalam sejarah kelab. Koleksi trofinya termasuk 6 UEFA Champions League, 6 Piala Dunia Kelab, 4 kejuaraan La Liga, serta beberapa gelaran domestik dan Eropah lain.
Beliau juga mencatat 590 penampilan, 43 gol dan 95 bantuan jaringanbersama pasukan gergasi Sepanyol itu.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menyifatkan Modric sebagai “simbol nilai murni kelab” dan legasinya akan kekal dalam sejarah bola sepak dunia.
Musim ini, walaupun sering bermula dari bangku simpanan, Modric kekal berpengaruh, menjaringkan dua gol dan mencipta enam bantuan dalam 34 aksi La Liga.
Beliau juga mencipta rekod sebagai pemain tertua menjaringkan gol untuk Real Madrid, pada usia 39 tahun 116 hari.
Selain beraksi di padang, Modric kini turut memulakan langkah dalam bidang pengurusan bola sepak apabila menjadi pemilik bersama kelab Swansea City di England.
Modric bakal melangkah keluar dari Real Madrid bukan sekadar sebagai legenda kelab, tetapi sebagai ikon bola sepak sejati.