Amorin seru perpdauan biarpun cabaran besar menanti Manchester United
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, tampil mengajak penyokong dan seluruh warga kelab untuk bersatu, walaupun realiti semasa menunjukkan cabaran besar menanti kelab yang kini bergolak.
Dipetik dari BBC, dalam ucapan selepas kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford, Amorim memohon maaf atas musim yang disifatkannya sebagai “bencana”, sambil menyatakan keyakinan bahawa “hari-hari yang baik bakal menjelma”.
Namun, kenyataannya bahawa pasukan “harus memilih sama ada terus terperangkap dalam masa lalu atau bersatu melangkah ke hadapan” kelihatan sukar menjadi kenyataan apabila laungan “We want Glazers out” bergema sejurus selepas perlawanan.
Kemarahan penyokong terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer, terus membara. Sejak pengambilalihan pada 2005, hutang kelab meningkat dan kini melebihi £1.1 bilion apabila bayaran perpindahan tertunggak diambil kira.
Menurut Swiss Ramble, United telah membayar lebih £738 juta dalam bentuk faedah – jumlah tertinggi antara kelab elit Eropah.
Amorim mengakui ketegangan dalaman memberi kesan kepada prestasi pasukan.
“Dalam masa sukar, kita saling menyalahkan, tetapi kita perlu kekal bersatu. Hanya dengan perpaduan kita boleh kembali bangkit,” katanya kepada media.
Namun, masalah kelab bukan hanya dalam padang. Pemindahan tempat duduk tetap, pengurangan konsesi, dan potensi pembatalan tiket musim menambah ketidakpuasan penyokong.
Tambahan pula, beberapa pemain utama seperti Christian Eriksen dan Jonny Evans bakal meninggalkan kelab, menandakan permulaan rombakan besar.
Walaupun Manchester United menamatkan musim dengan kemenangan, kebimbangan masih menebal.
Amorim sendiri mengakui mereka terikat dengan peraturan Financial Fair Play dan tidak bebas berbelanja sesuka hati.
Dalam suasana yang penuh ketidakpastian ini, Amorim hanya mampu berharap bahawa suara perpaduan akan lebih kuat daripada suara perpecahan — walaupun realitinya mungkin berkata sebaliknya.