Matheus Cunha hampir sah sertai Manchester United dengan nilai £62.5 juta

94

Manchester United kini berada di fasa akhir rundingan untuk mendapatkan penyerang Wolves, Matheus Cunha, dengan perpindahan bernilai £62.5 juta dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

Menurut BBC Sport, United bersetuju untuk membayar jumlah penuh dalam tiga ansuran dalam tempoh dua tahun. 


Bayaran pertama sebanyak £20.8 juta akan dibuat sejurus perpindahan dimeterai, diikuti bayaran kedua pada akhir musim depan, manakala baki terakhir perlu dijelaskan menjelang musim panas 2027.

Kedua-dua pihak juga hampir mencapai persetujuan berhubung terma peribadi pemain, dan sumber terdekat menyifatkan ia kini hanya menunggu pengesahan rasmi. 

Dalam pada itu, walaupun Wolves masih belum menerima tawaran bertulis, ia dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Disebabkan klausa pelepasan Cunha bernilai £62.5 juta telah ditetapkan, tiada rundingan lanjut diperlukan antara kelab sekiranya United bersetuju membayar penuh nilai tersebut.

Cunha, 25, telah menjaringkan 33 gol dalam 92 penampilan sejak tiba dari Atletico Madrid pada Januari 2023. 

Beliau hampir pasti telah bermain perlawanan terakhirnya untuk Wolves dalam aksi seri 1-1 menentang Brentford hujung minggu lalu.

Dalam satu hantaran di media sosial, Cunha meluahkan penghargaan terhadap kelab dan penyokong Wolves:

“Secara individu ini musim terbaik dalam hidup saya. Saya menjadi rakyat Brazil dengan jaringan terbanyak dalam satu musim Premier League, bersama Firmino dan Martinelli. Saya buat silap dan juga berjaya, tapi semuanya kerana cinta saya pada kelab ini.”

Jika berpindah ke Old Trafford, Cunha dijangka menjadi sebahagian penting dalam usaha kebangkitan Manchester United musim depan.