Harry Maguire akui musim lalu cukup mencabar, tekad bangkit semula
Bintang pertahanan Manchester United, Harry Maguire, secara terbuka mengakui musim 2024/2025 sebagai fasa “sukar” buat pasukan itu, namun menegaskan komitmen skuad The Red Devils untuk bangkit menerusi perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup 2024 menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025.
Menurut Maguire, musim lalu penuh cabaran, terutamanya dari segi kedudukan liga yang jauh daripada memuaskan.
“Ya, ia musim yang sukar. Kami sedar kami telah mengecewakan diri sendiri di atas padang. Tapi sekarang, fokus kami adalah membaiki kesilapan dan bergerak ke hadapan,”
katanya.
Tambah Maguire lagi, perlawanan persahabatan seperti menghadapi ASEAN All-Stars bukan sekadar latihan fizikal, tetapi peluang untuk menyatukan skuad dan memahami skala sokongan global.
“Bila anda bermain untuk kelab sebesar United, anda perlu sedar betapa luasnya jaringan penyokong. Dari Amerika ke Asia, mereka semua mengharapkan yang terbaik dari kami.”
Dalam pada itu, Maguire juga mengambil pendekatan untuk tidak memandang rendah kekuatan pasukan ASEAN All-Stars kerana pasukan itu dibarisi oleh bintag-bintang terbaik di Rantau ini.
“Ini perlawanan kompetitif. Kami mahu menang, tapi kami juga perlu hormati lawan. Mereka ada pemain berkualiti.”
Tambahnya lagi, perlawanan esok juga akan dijadikan sebagai platform untuk menguji taktikal baharu ketua jurulatih, Ruben Amorin sebelum musim baharu bermula.
Sementara itu, Maguire juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong United di seluruh dunia yang tidak pernah putus menyokong mereka.
“Terima kasih kerana tak pernah putus menyokong. Kami sedar musim lalu mengecewakan, tapi percayalah—kami sedang berusaha untuk pulih. Bersamalah menyaksikan kebangkitan ini.”