Diogo Dalot teruja bakal beraksi di hadapan 70,000 peminat Malaysia
Pemain pertahanan Manchester United, Diogo Dalot, menyatakan keterujaannya untuk beraksi di hadapan puluhan ribu peminat tempatan menjelang perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup menentang ASEAN All-Stars yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei.
Dalot menyifatkan lawatan ke Malaysia sebagai peluang istimewa untuk menghargai sokongan padu para peminat Asia Tenggara.
“Kami memang benar-benar mahu datang ke sini untuk bertemu dengan para peminat. Mereka sentiasa menyokong kami dengan hebat, dan kami harap esok stadium akan penuh dan kami dapat merasai sokongan mereka,”
katanya.
Tambahnya lagi, meskipun perlawanan ini bersifat persahabatan, kehadiran lebih 70,000 penyokong tetap menjadi dorongan besar buat pasukan.
“Ia menunjukkan betapa mereka menghargai kelab ini dan menyokong kami sepenuhnya. Kami harap kami dapat berikan perlawanan yang menarik untuk ditonton, dan mudah-mudahan disertai dengan kemenangan.”
Perlawanan ini dijangka menjadi medan penting buat Manchester United untuk menguji keserasian pemain menjelang musim baharu, sambil mempererat hubungan dengan komuniti peminat di rantau ASEAN.
Sementara itu, Dalot memberitahu bahawa beliau tidak akan menyertai rakan sepasukan ke Hong Kong selepas aksi di malaysia, namun beliau tetap menitipkan pesanan istimewa kepada para peminat di sana.
“Ramai rakan sepasukan saya akan ke sana, jadi saya harap semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Semoga mereka dapat bertemu semua pemain dan menikmati masa yang menyeronokkan.”