Cklamovski sifatkan aksi menentang Cape Verde sebagai peluang untuk tingkatkan prestasi pasukan
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan pertembungan menentang Cape Verde pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 esok sebagai satu ujian besar buat Harimau Malaya dalam usaha membina kekuatan pasukan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 10 Jun nanti.
Malaysia akan melayan kunjungan Cape Verde, pasukan yang kini menghuni ranking ke-72 dunia, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis, 29 Mei jam 9:00 malam sebelum sekali lagi bertemu lawan sama dalam aksi latihan tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
“Kami akan berdepan satu perlawanan menarik esok menentang lawan yang sangat kuat. Kami amat menantikannya. Persiapan kami berjalan dengan baik, dan kami berada dalam kedudukan yang bagus memandangkan situasi semasa.
Walaupun para pemain baru sahaja melalui tempoh rehat luar musim, mereka kembali dalam keadaan baik dan menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh. Mereka kelihatan tajam dan kami bersedia untuk satu cabaran besar esok malam menentang pasukan yang sangat bagus. Harapan kami ialah dapat memberikan persembahan menarik untuk para penyokong yang hadir ke stadium,”
katanya.
Cklamovski turut menekankan bahawa fokus utama kini adalah perlawanan esok, walaupun ramai pemerhati sudah membayangkan kesebelasan utama menentang Vietnam.
“Dalam bola sepak, perkara paling penting ialah perlawanan seterusnya. Kami menghormati setiap lawan. Tidak kira siapa yang bermain, mereka mewakili negara dan kami mahu tunjukkan semangat itu.”
Dalam pada itu, Cklamovski juga berkata pertembungan dengan Cape Verde akan menjadi satu cabaran besar dari segi fizikal dan taktikal, dan beliau melihatnya sebagai peluang untuk perkembangan pasukan.
“Ada pemain hanya sempat berlatih 3 hingga 10 hari, tapi saya dan pemain mahukan cabaran ini. Cabaran itu yang akan membawa kepada pertumbuhan dan kemajuan.”
Menyentuh kem latihan semasa, Cklamovski berkata pasukan menunjukkan kemajuan setiap hari dan kini berada di landasan yang betul untuk menghadapi ujian lebih besar.
“Kami tidak bazirkan satu saat pun dalam latihan. Kami sedang membina pasukan ini secara berperingkat. Perlawanan esok adalah sebahagian daripada persiapan penting menjelang aksi menentang Vietnam.”
Beliau turut menjangkakan permainan intensif daripada Cape Verde dan mahu melihat bagaimana Harimau Malaya dapat menyerap tekanan dan memberikan saingan dengan gaya permainan tersendiri.
“Kami tahu ada ruang yang boleh dieksploitasi. Setiap aspek — serangan, pertahanan, set piece — akan diuji. Tapi dalam masa sama, kami juga mahu jadi ancaman kepada mereka.”
Cklamovski menegaskan pentingnya setiap pemain menggalas tanggungjawab di atas padang sebagai pemimpin, bukan hanya bergantung kepada pemain berpengalaman.
“Kami bina mentaliti bahawa ada 11 kapten di atas padang. Dalam latihan, kami ada 30 kapten. Semua pemain perlu ambil peranan memimpin.”
Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa pemain pertahanan Dominic Tan tidak akan diturunkan pada perlawanan esok akibat kecederaan ringan dan kini sedang menjalani pemulihan yang rapi.