Cape Verde anggap aksi menentang Malaysia sebagai persiapan penting hadapi misi Piala Dunia 2026

299

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Cape Verde, Pedro Brito menyifatkan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia esok sebagai satu peluang penting buat pasukannya untuk terus memperkukuh persiapan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Bakal beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Pedro menganggap dua perlawanan menentang Harimau Malaya sebagai medan terbaik untuk menguji keupayaan mereka berdepan cabaran sebenar menjelang aksi penting pada bulan September.


“Kami sangat berbesar hati berada di Malaysia. Ini adalah dua perlawanan penting, bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk Malaysia yang bakal menghadapi perlawanan besar dalam masa terdekat.

Setiap pemain yang mewakili Cape Verde akan memberikan yang terbaik. Kami datang ke sini bukan sekadar untuk bermain, tetapi untuk menang dan belajar. Kami mahu menjadikan setiap perlawanan ini sebagai peluang untuk memperbaiki pasukan,”

katanya.

Pedro juga menyifatkan pertembungan dengan Malaysia sebagai satu cabaran yang memberi nilai tambah besar, terutamanya dalam membentuk pemain muda dalam pasukan mereka.

“Kami membawa beberapa pemain muda yang pertama kali menyertai skuad kebangsaan. Dalam bola sepak, pengalaman itu sangat penting. Sebagai sebuah negara kecil, peluang bermain menentang pasukan dari benua lain sangat berharga buat kami.”

Dalam pada itu, Pedro turut mendedahkan bahawa ketiadaan pemain pertahanan Logan Costa akan menjejaskan pasukan kerana kekuatan mereka tidak hanya terletak pada individu tetapi kepada seluruh pasukan.

“Bagi saya, bukan soal satu pemain. Kami bukan bergantung kepada nama tertentu. Yang penting adalah pasukan secara keseluruhan. Ini masa yang sukar bagi ramai pemain kerana musim liga sudah tamat, ramai yang penat dan ada yang cedera. Tetapi siapa yang ada, akan berikan yang terbaik.”

Sementara itu, Cape Verde dijadualkan bertemu Malaysia sebanyak dua kali — aksi pertama pada 29 Mei di Cheras dan satu lagi perlawanan tertutup pada 3 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.