Saya rasa kini saya boleh bermain menentang sesiapa sahaja – Sergio Aguero
Kapten pasukan ASEAN All-Stars, Sergio Aguero, menyifatkan kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Manchester United dalam perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup malam tadi sebagai detik paling bermakna dalam kerjayanya.
Beraksi di hadapan lebih 70 ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Aguero mengakui bukan sekadar kemenangan menjadi kebanggaan, tetapi peluang untuk beraksi menentang kelab gergasi dunia seperti Manchester United merupakan sesuatu yang sangat istimewa.
“Ini adalah detik bersejarah buat kami. Bukan sekadar kerana kemenangan, tetapi kerana dapat mengambil bahagian dalam perlawanan ini. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini,”
katanya.
Aguero turut mendedahkan bahawa kejayaan malam tadi memberi lonjakan keyakinan besar terhadap kemampuannya di atas padang.
“Saya mula rasa keyakinan apabila mengawal bola. Dari semasa ke semasa, keyakinan itu makin bertambah. Saya juga percaya pada diri sendiri. Ya, kami boleh. Saya rasa kini saya boleh bermain menentang sesiapa sahaja.”
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai aksi pasukan, Aguero berkata pasukannya bermain dengan cukup cemerlang terutamanya pada 30 minit pertama, dengan mencipta beberapa peluang sebelum berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan.
“Kami tidak boleh terlalu longgar, jadi kami sedikit bertahan selepas itu. Tetapi apabila gol itu hadir, ia memang luar biasa.”
Tambahnya lagi, aksi menentang pasukan seperti Manchester United memberi pengalaman yang sangat berharga, lebih-lebih lagi apabila berpeluang melihat kehebatan lawan dari dekat.
“Mereka memang pasukan hebat. Cara mereka kawal bola, lakukan hantaran memang luar biasa. Ini peluang yang jarang untuk saya. Saya anggap ini sebagai detik bersejarah buat diri saya juga.”
Sementara itu, Aguero yang ditanya mengenai masa depannya dalam bola sepak dan kemungkinan mencari kelab baharu musim depan, Aguero mengambil pendekatan berhati-hati.
“Malangnya saya tak boleh komen tentang itu. Saya perlu tunggu.”