Penyokong ‘boo’ pasukan lepas perlawanan, saya rasa itu mungkin sesuatu yang perlu juga – Ruben Amorin

Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, mengakui bahawa ejekan penyokong selepas kekalahan 0-1 kepada ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin sesuatu yang perlu diterima oleh pasukan ketika ini.
Amorim menyifatkan reaksi penyokong yang bersorak mengejek selepas wisel penamat sebagai satu isyarat jelas terhadap prestasi pasukan, namun tetap mempertahankan sokongan setia yang ditunjukkan mereka sepanjang musim ini.
“Saya sentiasa rasa bersalah. Saya sentiasa bertanggungjawab atas prestasi pasukan, tidak kira apa pun. Sejak hari pertama saya di sini, saya bertanggungjawab. Tentang ejekan penyokong, saya rasa itu mungkin sesuatu yang perlu juga. Dalam setiap kekalahan Liga Perdana, mereka tetap ada bersama kami,”
katanya.
Pengendali The Red Devils itu juga tidak menafikan bahawa persembahan pasukannya masih jauh daripada tahap sepatutnya.
Beliau mengakui skuadnya bermain perlahan dan kurang bermotivasi, walaupun berdepan lawan yang sangat bersemangat dalam perlawanan persahabatan itu.
“Kami sepatutnya bermain lebih baik. Tapi tiada kecederaan, itu yang penting. Ada pemain yang berisiko, tetapi kami mahu menghormati penyokong dan beri peluang semua pemain untuk beraksi.”
Dalam pada itu, Amorin turut mengulas mengenai ketumpulan di bahagian serangan yang mana beliau berkata perkara itu akan diberikan perhatian menjelang musim baharu.
Pada masa sama Amorim juga berkata kekalahan ini bukan alasan untuk panik, tetapi satu peringatan bahawa pasukan perlu memiliki semangat juang yang tinggi dalam setiap situasi.
“Kami perlu ada keinginan untuk menang dalam setiap perlawanan, setiap latihan. Gaya permainan saya adalah berdasarkan prinsip tertentu, dan saya percaya padanya. Tapi kami tetap perlu perbaiki keputusan.”
Sementara itu, Amorim turut menyeru peminat supaya terus menyokong kelab meskipun pasukan belum berada di tahap terbaik.
Beliau berkongsi kisah zaman kecilnya sebagai penyokong tegar kelab di Portugal dan menekankan pentingnya sokongan walau dalam apa jua keadaan.
“Kalau mampu, datanglah ke stadium. Ia tentang cinta pada kelab. Sama macam saya dulu. Sekarang tanggungjawab kami untuk perbaiki pasukan dan bersedia untuk musim baharu.”