Walaupun hanya berlatih dua hari, mereka bermain seperti sudah bersama selama 20 tahun – Kim Sang Sik

Ketua jurulatih ASEAN All-Stars, Kim Sang-sik, melahirkan rasa bangga dan kagum terhadap semangat juang anak buahnya yang berjaya mencipta kejutan menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Perlawanan yang disaksikan lebih 70,000 penyokong itu bukan sahaja menyajikan aksi bertaraf dunia, malah mencatat sejarah tersendiri apabila gabungan pemain-pemain terbaik Asia Tenggara menundukkan salah satu kelab paling berprestij di dunia.
“Pemain hanya berlatih selama dua hari tetapi mereka bermain seolah-olah sudah bermain selama 20 tahun. Pasukan menunjukkan organisasi permainan yang sangat baik dan saya amat berpuas hati,”
katanya.
Gol tunggal perlawanan telah dijaringkan oleh pemain Myanmar, Maung Maung Lwin sekaligus memastikan kemenangan bersejarah ke atas gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Dalam pada itu, Sang-sik yang mengakui dirinya sebagai peminat Manchester United sejak era Sir Alex Ferguson, menganggap kemenangan ini sebagai satu penghormatan besar kepada pemain dan penyokong ASEAN.
“Dapat menewaskan pasukan hebat seperti ini adalah satu penghormatan besar. Kami tahu Manchester United mempunyai ramai peminat di seluruh dunia, dan kami berbangga dapat memberi kegembiraan kepada penyokong tempatan dan serantau.”
Sementara itu, menjelang aksi penting kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun menentang Malaysia nanti, Sang-sik yang merupakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam menjangkakan berdepan suasana lebih mencabar di stadium yang bakal dipenuhi lautan kuning.
“Kami akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan penting itu. Hari ini kami pakai jersi merah dan berasa selesa, tetapi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, warna kuning akan mendominasi. Kami yakin dapat hasilkan keputusan baik.”
Beliau pada masa sama turut memberi pujian kepada dua pemain kebangsaan yang diturunkan iaitu Declan Lambert dan Sergio Aguero yang menurutnya menunjukkan kematangan dan keberanian walaupun menentang pasukan elit seperti Manchester United.